KECOH minggu lalu apabila tular dakwaan berkenaan sebuah program motivasi bertemakan seni cinta rumah tangga yang didakwa melanggar batas syariat dan mencemarkan kesucian agama.
Program yang dikatakan berlangsung pada September tahun lalu di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, Selangor itu dikhabarkan menyasarkan golongan wanita yang sedang berhadapan dengan konflik rumah tangga.
Namun, apa yang mengejutkan adalah laporan mengenai upacara simbolik membuang masalah hidup dengan mencampak pakaian ke hadapan dewan, selain diselitkan dengan acara tidak senonoh seperti ‘Rebirth’ (kelahiran semula) yang dikaitkan dengan unsur lucah.
Mengulas itu itu, pendakwah Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi menegaskan, Islam telah menyediakan panduan ‘healing’ (pemulihan jiwa atau mencari ketenangan) yang jelas dan menyeluruh.
USTAZ JAFRI
Caranya adalah dengan berbalik kepada al-Quran, as-Sunnah dan panduan para ulama untuk mencari ketenangan dalam jiwa.
“Al-Quran ada, alim ulama pun masih ada. Pasal apa sampai kena bayar puluhan ribu semata-mata nak dapatkan ketenangan yang boleh didapati secara percuma?” soalnya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di akaun TikTok miliknya baru-baru ini.
Sekalipun acara itu hanya melibatkan wanita, agamawan tersebut menegaskan, itu bukan tiket untuk mendedahkan aurat sesama sendiri tanpa batasan.
“Walaupun sama-sama Muslimah, masih ada had aurat yang perlu dijaga. Tapi sampai langsung tiada seurat benang pada tubuh badan, ia sudah dikira haram dan berdosa hukumnya.
“Apatah lagi melakukan perkara-perkara yang ada unsur lucah, bahkan diberitakan bahawa ada ritual-ritual tertentu yang tidak sesuai dengan agama kita (seperti) ‘Rebirth’, ada mandian dan pertapaan tertentu,” ungkapnya.

BERBALIKLAH kepada al-Quran, as-Sunnah dan panduan para ulama untuk mencari ketenangan dalam jiwa. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Kepada individu yang terlibat dengan kumpulan itu, Ustaz Jafri mengingatkan agar mereka segera bertaubat nasuha dan memutuskan hubungan dengan pihak yang membawa ajaran songsang.
“Kalau ada yang (masuk) secara tak sengaja, (seperti) bila masuk saja baru tahu, cepat-cepat mufaraqah (putuskan hubungan), keluar daripada kumpulan tersebut. Jangan ada hubungan lagi.
“Seandainya ada sesiapa yang mempunyai maklumat, mungkin ada yang duduk dalam majlis itu, sampaikanlah informasi tersebut dan jadilah saksi supaya siasatan dapat dijalankan dengan sebaik-baiknya dan seadil-adilnya. Semoga ALLAH ampunkan dosa-dosa kita,” titipnya.
Sementara itu, pendakwah Ustazah Asma’ Harun turut menyentuh isu sama menerusi satu hantaran di laman sosial Facebooknya baru-baru ini.
Beliau menegaskan, tiada istilah kelahiran semula untuk semangat, jiwa atau diri dalam Islam.

USTAZAH ASMA’
“Yang ada adalah bersihkan daripada dosa, mudah-mudahan kita ibarat bayi baru lahir, suci dan bersih,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
Jelas beliau, jalan bahagia, tenang dan kaedah melepaskan masa lalu sudah lama ada dalam al-Quran, hadis dan sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya.
“Kenapa manusia suka mencari jalan tersembunyi yang penuh keraguan? Sedangkan laluan terang dan mudah terbentang depan mata.
“Betapa manusia terdesak mencari bahagian yang diukur dengan dunia, sanggup melalui proses yang bila diukur dengan akal, amat mudah untuk menilai ia jelas haram, kotor dan hina,” ungkapnya sambil menasihatkan mereka yang sudah terlanjur supaya melakukan taubat nasuha iaitu menyesali dengan hati, meninggalkan terus sepenuhnya dan nekad tidak mengulanginya lagi.