am@hmetro.com.my
Putrajaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sindrom kebergantungan golongan rentan terhadap bantuan kerajaan perlu ditangani sebaik mungkin dan tidak harus dibiarkan berterusan.
Katanya, kebergantungan yang berterusan bukan penyelesaian mutlak khususnya dalam memerdekakan ekonomi mereka dari kelompok miskin tegar.
“Kadang-kadang pelaksanaan (dasar) itu (baik), ya.. kita (kerajaan) bantu, tapi (masalahnya) tak bantu memerdekakan (keluarkan) mereka (dari miskin tegar) dalam ekonomi. Bantu supaya mereka boleh sekadar hidup kemudian kekal bergantung kepada penguasa.
“Penguasa juga (berasakan) dari segi faedah politiknya ada, kerana (membiarkan) orang ini hanya akan bergantung dengan kita. Penyelesaian masalah ekonomi ini sepatutnya membebaskan, bukan terus bergantung,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Peluncuran Simposium Kebangsaan Menoktah Kemiskinan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Hadir sama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Simposium sehari itu mengetengahkan perbincangan mengenai beberapa isu utama seperti konsep dan pendekatan menoktah kemiskinan, keperluan pembiayaan dan keberkesanan tatakelola bagi mencari solusi terbaik yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan.
Ia membabitkan empat sesi diskusi membariskan tokoh dan pakar daripada sektor kerajaan, swasta, akademik, pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil.
Mengulas lanjut Anwar berkata, dengan segala bentuk sokongan diberikan serta dana yang disalur kerajaan, tiada alasan untuk negara menyelesaikan masalah miskin tegar dalam tempoh yang singkat.
Beliau berkata, kerajaan membelanjakan RM20 bilion hingga RM22 bilion setahun untuk program dan inisiatif bagi membasmi kemiskinan, namun dana besar yang diagih adakalanya tidak disalur secara praktikal.
“Saya hadir dalam seminar Khazanah Nasional di mana salah seorang sarjana memberitahu, kalau dana itu tidak diturunkan melalui agensi, diberikan langsung kepada setiap orang miskin, tidak ada masalah kita selesaikan kemiskinan tegar.
“Sekarang, dana RM20 bilion (disalur) kepada semua agensi. Ya (adakalanya) tidak praktik. Kita perlu memikir semula pendekatan kita. (Dananya) terlalu banyak. Ada agensi untuk (bantu) rakyat miskin, 80 peratus (dana) itu (digunakan) untuk belanja pengurusan, 20 peratus untuk (disalur kepada yang) paling miskin.
“Ada agensi tumpuannya untuk bantu golongan rentan dan miskin, tapi puluhan (dana) tiap kali bila ada acara diluar negara dibelanjakan. Sebab itu kita keras hari ini, kerana ia sudah jadi budaya. Salah tetap salah, dia kena ikut peraturan, ada prosedur,” katanya.
Justeru, Anwar mahu dalam seminar dan simposium yang dianjurkan seperti ini, harus disinggung hal-hal sebegini, supaya ia menjadi pengajaran dan budaya baru kepada semua.
“Sebab itu pemantauan itu harus. Saya harap dalam seminar seperti ini hal-hal ini dibicarakan. Kalau tidak setiap kali diminta peruntukan, mana negara mampu beri peruntukan yang lebih.
“Tetapi yang tidak dibicarakan, peruntukan kepada jabatan dan agensi yang bocor dan tiris. Sebab itu, memerangi rasuah dan penyelewengan itu jangan dipandang remeh,” katanya.
tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd