Carragher desak Slot berani rehatkan Salah

Carragher desak Slot berani rehatkan Salah


JAMIE Carragher memberi amaran kepada pengurus Liverpool, Arne Slot bahawa Mohamed Salah tidak lagi seharusnya menjadi pemain utama yang terus kekal berada dalam kesebelasan utama selepas kekalahan 1-2 kepada Manchester United di Anfield.

Bekas pertahanan The Reds itu berkata, penyerang Mesir yang suatu ketika dahulu tidak boleh disentuh dalam jentera serangan Liverpool kini perlu lebih kerap digilirkan selepas menunjukkan penurunan persembahan.

“Ini satu dilema besar untuk pengurus dan apa yang akan dilakukannya. Menarik apabila dia (Slot) mengeluarkannya. Jurgen Klopp dahulu sering menariknya keluar, itu menunjukkan bahawa walaupun Salah tidak bermain baik, dia masih mempunyai tenaga dan ketajaman tambahan.

“Namun kini kita berada pada tahap di mana Salah tidak sepatutnya bermain setiap perlawanan. Dia tidak lagi patut menjadi nama pertama dalam senarai kesebelasan utama.

“Ya, dia masih pemain terbaik dalam pasukan dan layak beraksi di laman sendiri, tetapi jika Liverpool ada dua perlawanan di tempat lawan satu di Eropah dan satu di Brentford, saya rasa dia tidak perlu bermain kedua-duanya.

“Kita sudah sampai ke tahap di mana Mo Salah tidak lagi dijamin tempat sebagai pemain utama minggu depan,” katanya.

Kenyataan Carragher itu hadir selepas Liverpool tewas empat kali berturut-turut dalam semua kejohanan, termasuk tiga kekalahan dalam Liga Perdana Inggeris.

Kekalahan itu menyaksikan mereka melepaskan kelebihan lima mata di tangga teratas dan kini jatuh ke tempat ketiga, empat mata di belakang Arsenal.

Dalam perlawanan tersebut, Bryan Mbeumo membuka jaringan seawal 62 saat selepas kesilapan antara Virgil van Dijk dan Alexis Mac Allister, sebelum Cody Gakpo menyamakan kedudukan awal separuh masa kedua.

Namun, tandukan lewat Harry Maguire memastikan kemenangan pertama United di Anfield sejak tahun 2016.

Sementara itu, Gary Neville dalam The Gary Neville Podcast turut sependapat dengan Carragher, menyatakan kebimbangannya terhadap penurunan prestasi Salah bukan hanya dari segi fizikal, tetapi teknikal.

“Ramai mula persoalkan dirinya adakah kerana usia atau sudah terlalu lama bermain di tahap tertinggi? Tapi yang peliknya, saya tak nampak penurunan fizikal. Larian dan pergerakannya masih tajam, dia masih aktif dalam kotak penalti.

“Namun yang ketara adalah tekniknya iaitu kawalan bola, sepakan, dan hantaran lintang yang kelihatan tidak menjadi. Beberapa kali bola datang ke tiang jauh dan tekniknya nampak sangat lemah. Itu bukan Mo Salah yang kita kenal.

“Salah seorang pemain dengan teknik terbaik sepatutnya dia masih mampu mengekalkan itu. Jadi bahagian teknikal itulah yang paling mengejutkan saya,” katanya.

Ringkasan AI

  • Jamie Carragher memberi amaran bahawa Mohamed Salah tidak sepatutnya kekal sebagai pemain utama Liverpool selepas kekalahan kepada Manchester United
  • Penurunan prestasi Salah menjadi alasan dia perlu lebih kerap digilirkan daripada bermain setiap perlawanan
  • Salah tidak lagi dianggap sebagai nama pertama yang wajib ada dalam senarai kesebelasan utama Liverpool
  • Kekalahan Liverpool kepada United adalah satu daripada empat kekalahan berturut-turut dalam semua kejohanan
  • Gary Neville juga mempersoalkan penurunan teknikal Salah walaupun fizikalnya masih tajam



Source link

OR

Scroll to Top