Carragher gesa Amorim letak jawatan, anggap era di United penuh malapetaka

Carragher gesa Amorim letak jawatan, anggap era di United penuh malapetaka


Amorim mencatat rekod terburuk dalam Liga Perdana Inggeris bersama United, hanya mengutip 34 mata daripada 33 perlawanan dengan 17 kekalahan. Foto AFP

BEKAS bintang Liverpool, Jamie Carragher menggesa Ruben Amorim segera meninggalkan Manchester United selepas menganggap tempoh pengendaliannya sebagai satu malapetaka.

Seruan itu dibuat selepas United tumbang 3-1 kepada Brentford, kekalahan terbaru dalam siri prestasi buruk di bawah jurulatih dari Portugal itu.

Rekod Amorim dalam Liga Perdana Inggeris menjadi catatan terburuk dalam sejarah kelab, hanya mengutip 34 mata daripada 33 perlawanan dengan 17 kekalahan.

Musim lalu, United menamatkan saingan di tangga ke-15 iaitu kedudukan terburuk dalam era Liga Perdana sebelum dikecewakan Tottenham di pentas akhir Liga Europa.

Musim baharu juga tidak bermula baik dengan tiga kekalahan daripada enam perlawanan walaupun berbelanja hampir £250 juta pada jendela perpindahan musim panas lalu. Malah mereka turut dimalukan Grimsby dari Liga Dua dalam saingan Piala Carabao.

Carragher percaya Amorim masih kekal di Old Trafford kerana pengurusan kelab enggan mengakui kesilapan mereka.

“Dia masih ada kerja kerana pihak atasan United sudah terlalu banyak melakukan kesilapan, jadi mereka tidak mahu mengakui sekali lagi bahawa mereka tersalah langkah.

“Ia malapetaka buat United dan Amorim. Apa yang dia lakukan di Sporting Lisbon memang hebat, tetapi sistem permainannya tidak sesuai dengan tradisi Man United.

“Lebih cepat kelab membuat keputusan, lebih baik untuk semua pihak kerana ini jelas satu bencana,” katanya.

Terdahulu, Amorim dilapor pernah menawarkan diri untuk berundur musim lalu, malah selepas tewas final Liga Europa, pengendali berusia 40 tahun itu menyatakan kesediaan meninggalkan kelab tanpa pampasan jika penyokong dan pengurusan tidak lagi mempercayainya.

Sumber dalaman mendedahkan bilik persalinan kini hilang semangat kerana kemerosotan prestasi berterusan pasukan itu.

Namun, United dikatakan belum mempunyai calon pengganti manakala Amorim tetap yakin mampu mengubah keadaan.

“Saya sentiasa buat kerja saya. Bila menang, semangat ada. Bila kalah, kita kembali berjuang untuk satu kemenangan yang boleh mengubah momentum.

“Saya sentiasa yakin kerana saya tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Bekas bintang Liverpool, Jamie Carragher menggesa Ruben Amorim meninggalkan Manchester United kerana tempoh pengendaliannya dianggap malapetaka
  • Amorim mencatat rekod terburuk dalam Liga Perdana Inggeris dengan United, hanya mengutip 34 mata dari 33 perlawanan
  • United menamatkan musim lalu di tangga ke-15, kedudukan terburuk dalam era Liga Perdana dan dimalukan oleh Tottenham di final Liga Europa
  • Musim baru bermula dengan tiga kekalahan dari enam perlawanan dan kekalahan dari Grimsby di Piala Carabao walaupun berbelanja hampir £250 juta
  • Carragher percaya Amorim masih berada di Old Trafford kerana pengurusan kelab enggan mengakui kesilapan mereka



Source link

OR

Scroll to Top