Carrick desak Tuchel pilih trio United

Carrick desak Tuchel pilih trio United


London: Michael Carrick menggesa pengendali England, Thomas Tuchel supaya memberi peluang kepada tiga pemain Manchester United membuktikan kemampuan mereka menjelang Piala Dunia.

Carrick mahu Harry Maguire, Luke Shaw dan Kobbie Mainoo dipanggil menyertai skuad England bagi aksi persahabatan menentang Jepun dan Uruguay hujung bulan ini.

Sejak Tuchel mengambil alih pada Januari 2025, tiada pemain United dipilih, dengan hanya Marcus Rashford dipanggil ketika beraksi secara pinjaman di kelab lain.

Situasi itu mencerminkan kemerosotan prestasi United sebelum ini, namun Carrick percaya pemainnya kini kembali berada di tahap terbaik.

“Untuk pemain, saya mahu melihat mereka dipilih kali ini dan juga untuk musim panas nanti,” katanya.

Ketiga-tiga pemain itu menjadi tonggak utama dalam sembilan perlawanan sejak Carrick mengambil alih, membantu United kembali berada di tangga ketiga liga.

Maguire yang memiliki 64 kaps antarabangsa kali terakhir beraksi bersama England 18 bulan lalu, manakala Mainoo pula kali terakhir tampil dalam aksi Liga Negara-Negara menentang Ireland pada September 2024.

Mainoo sebelum ini dilihat sebagai bintang masa depan England selepas beraksi dalam final Euro 2024, namun dia kehilangan tempat ketika era Ruben Amorim.

Sementara itu, Shaw yang juga beraksi di final Euro sebelum ini turut kembali menunjukkan prestasi meyakinkan.

Carrick bagaimanapun mengakui beliau tidak mempunyai pengaruh dalam pemilihan skuad, namun percaya pemainnya sudah membuktikan kemampuan.

“Mereka bermain dengan cukup baik untuk layak dipilih. Kini terpulang kepada jurulatih,” katanya.

England dijadual menamakan skuad dalam masa terdekat menjelang aksi terakhir di laman sendiri sebelum saingan Piala Dunia bermula Jun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top