Carrick waspada ancaman Fulham

Carrick waspada ancaman Fulham


KEYAKINAN Manchester United berada pada tahap tinggi, namun Michael Carrick tidak mahu momentum positif itu melahirkan rasa selesa yang berlebihan.

Menjelang kunjungan Fulham ke Old Trafford malam ini (10 malam waktu Malaysia), pengendali sementara United itu mengingatkan pasukannya agar kekal berpijak di bumi nyata.

The Red Devils meneruskan aksi Liga Perdana Inggeris (EPL)selepas mencatat kemenangan berturut-turut ke atas Manchester City dan Arsenal, satu pencapaian yang mengangkat moral pasukan dalam tempoh singkat.

Namun bagi Carrick, ujian sebenar sering datang ketika lawan dianggap ‘biasa-biasa’.

Fulham, di bawah kendalian Marco Silva, dilihat sebagai pasukan yang semakin tersusun dan berani bermain tanpa gentar, biarpun beraksi di gelanggang lawan.

Carrick sendiri mengakui cabaran kali ini berbeza, sambil menegaskan bahawa status tuan rumah tidak boleh dijadikan alasan untuk mengambil mudah perlawanan.

“Fulham bukan lawan untuk dipandang ringan, walau kita bermain di tempat sendiri.

“Kita mesti serius dan tiada ruang untuk melakukan kesilapan,” ujar Carrick.

Dari aspek pemilihan pemain, United menerima khabar baik dengan kepulangan Joshua Zirkzee ke sesi latihan selepas pulih daripada kecederaan.

Kehadirannya memberi lebih pilihan di bahagian serangan, terutama ketika pasukan cuba mengekalkan intensiti permainan sejak dua perlawanan lalu.

Amad Diallo (kiri) dan Bryan Mbeumo menyerlah dalam aksi menentang Manchester City dan Arsenal yang menyaksikan Carrick membawa kelab meraih kemenangan berturut-turut selepas dilantik sebagai pengendali interim United.

Namun, Carrick berdepan cabaran di posisi lain apabila Patrick Dorgu disahkan mengalami kecederaan hamstring dan dijangka berehat beberapa minggu.

Kehilangan pemain antarabangsa Denmark itu dirasai, lebih-lebih lagi selepas sumbangan golnya ketika menentang City dan Arsenal. Matthijs de Ligt pula masih belum bersedia untuk kembali.

Dalam masa sama, tumpuan turut terarah kepada jendela perpindahan yang masih berbaki beberapa hari lagi, Carrick tidak menolak kemungkinan United melakukan pergerakan di pasaran, namun memilih pendekatan berhati-hati sambil menilai keperluan sebenar pasukan.

Yang pasti, aksi menentang Fulham menjadi ukuran kematangan mental United, khususnya keupayaan mereka mengekalkan fokus, disiplin dan intensiti meskipun berdepan lawan yang tidak setaraf City atau Arsenal di atas kertas.

Apa pun, United bakal diuji sama ada kebangkitan mereka benar-benar stabil atau masih rapuh apabila berdepan cabaran yang menuntut kesabaran dan ketajaman taktikal.

Pertemuan ini berpotensi menjadi penanda aras penting bagi menentukan arah dan momentum sebenar pasukan.



Source link

OR

Scroll to Top