ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) yang dikemukakan oleh tujuh pemain Harimau Malaya.
Tujuh pemain terbabit ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Keputusan itu menyaksikan hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap tujuh pemain berkenaan ditangguhkan buat sementara waktu.
Susulan itu, mereka dibenarkan meneruskan karier masing-masing serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat.
Sebelum ini, imej FAM tercalar di mata dunia apabila FIFA mengenakan denda dan penggantungan kepada tujuh pemain berkenaan yang didakwa memalsukan dokumen kelahiran dan susur galur untuk mewakili Malaysia.
Mereka masing-masing dikenakan tindakan penggantungan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selama 12 bulan bermula September tahun lalu.
Selain penggantungan selama 12 bulan dan denda ke atas pemain, FAM turut didenda sejumlah CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala setiap pemain pula didenda CHF2,000 (RM10,000).
© New Straits Times Press (M) Bhd






