Castillejo bakal gugat posisi Arif Aiman?

Castillejo bakal gugat posisi Arif Aiman?


KEHADIRAN pemain sayap kanan baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Samu Castillejo menjadi nilai tambah penting kepada Harimau Selatan dalam menghadapi pusingan 16 pasukan terbaik saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Castillejo bukanlah nama asing di peringkat bola sepak dunia apabila pemain berusia 30 tahun itu pernah beraksi dengan pasukan gergasi dunia seperti AC Milan dan Villarreal.

Dia yang sinonim beraksi di posisi sayap kanan itu sememangnya akan menjadi taruhan utama buat JDT dalam mendepani cabaran lebih getir selepas pasukan berjaya melepasi peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, timbul persoalan dalam kalangan peminat yang melihat kehadiran Castillejo akan menggugat posisi ‘selesa’ di sayap kanan yang selama ini menjadi milik bintang Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi.

Pun begitu, jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin melihat Arif Aiman tidak akan kehilangan posisi sayap kanan tersebut kepada Castillejo yang mempunyai reputasi lebih baik.

Beliau berkata, JDT sudah tentu mempunyai perancangan tersendiri membawa masuk Castillejo tanpa mengenepikan peranan dimainkan Arif Aiman di ACLE.

“Bagi saya Arif Aiman ketika ini merupakan pemain terbaik dimiliki JDT dan impaknya kepada pasukan tidak dapat disangkal. Saya tidak nampak Arif Aiman akan diketepikan biarpun ada pemain baharu yang masuk.

“Kemasukan Castillejo mungkin akan menjadi ‘back up’ kepada posisi penting yang memerlukan pemain sokongan yang bagus. Dia (Castillejo) juga merupakan pemain yang bukan hanya boleh beraksi di sayap kanan.

“Selain itu, mungkin ada perancangan sekiranya dalam sesuatu perlawanan, Arif Aiman dikawal ketat, pemain gantian yang masuk itu mempunyai keupayaan yang bagus dan tidak akan menjejaskan rentak permainan menyerang JDT.

“Arif Aiman ni mempunyai mentaliti yang kuat, sangat profesional, dan kehadiran pemain baharu ini sudah tentu akan menaikkan lagi semangat dia untuk beraksi lebih cemerlang,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sulaiman turut melihat perancangan jitu JDT yang melihat banyak aspek membawa masuk pemain berprofil tinggi kerana menyedari saingan akan menjadi lebih sukar di pusingan 16 terbaik.

“Kita melihat persiapan rapi dilakukan JDT kerana selepas mereka melepasi peringkat kumpulan, cabarannya sudah berbeza kerana berdepan pasukan yang lebih kuat.

“Kualiti, kekuatan dan pengalaman pemain amat penting dalam usaha memastikan pasukan tersebut mampu mara ke pusingan seterusnya,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top