syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Walau sebagus mana sekalipun bakat dimiliki, kalau tidak muncul di media sosial, orang tetap akan cenderung untuk melupakan kita.”
Demikian pandangan pelakon, Catriona Ross, 46, ketika ditanya mengenai kepentingan golongan pelakon veteran mahupun senior untuk kekal aktif di platform media sosial.
Mengulas sokongan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang menggalakkan artis veteran memanfaatkan media sosial bagi menarik perhatian penerbit, Catriona menganggap inisiatif itu sangat penting dalam era digital hari ini.
Catriona atau nama sebenarnya Catriona Bahrin Ross berkata, dia memahami segelintir pelakon veteran mungkin merasakan fasa mengejar populariti atau berada dalam perhatian umum bukan lagi keutamaan mereka.
“Saya faham mereka mungkin rasa berada dalam perhatian umum ini sudah tidak penting lagi. Lagipun, ramai yang ada tanggungjawab lain serta kekangan waktu.
“Namun, hakikatnya jika tidak memunculkan diri secara dalam talian dengan apa-apa kandungan sekalipun, orang akan mudah lupa,” katanya kepada Harian Metro.
Bagi memastikan nama dan bakat artis senior kekal relevan, Catriona menyarankan agar mereka mula mengambil langkah kreatif untuk menarik perhatian rakan industri dan penonton.
“Saya rasa sangat bagus jika mereka boleh cipta sesuatu kandungan sendiri, contohnya seperti menghasilkan drama-drama pendek atau apa sahaja bentuk video.
“Sekurang-kurangnya, langkah ini membuatkan orang sentiasa nampak keberadaan mereka dan nama mereka kekal dalam ingatan penggiat industri,” katanya.
Sebelum ini, isu pembahagian watak untuk pelakon veteran kerap menjadi perbualan hangat, di mana akaun dan keaktifan di media sosial kini dilihat antara nilai tambah yang dinilai oleh penerbit serta stesen televisyen.
© New Straits Times Press (M) Bhd






