saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bintang Perancis, Celine Boutier bersedia untuk mempertahankan gelarannya di Kejohanan Maybank yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) bermula Khamis ini.
Pemain berusia 30 tahun itu, yang menewaskan pemain Thailand, Jeeno Thitikul dalam aksi playoff sembilan lubang untuk muncul juara sulung tahun lalu, menunjukkan momentum mengagumkan sejak kebelakangan ini, dengan satu kemenangan dan tempat kedua sejak tiga minggu terakhir.
Celine merangkul gelaran individu di Aramco Team Series, acara Jelajah Eropah Wanita di Shenzhen, China, tiga minggu lalu sebelum menamatkan kedudukan di tempat kedua di belakang Hannah Green dari Australia di Kejuaraan Wanita BMW dekat Korea Selatan, Ahad lalu.
Prestasi hebat itu hadir pada masa yang tepat untuk pemain nombor tujuh dunia itu yang berusaha untuk mempertahankan gelaran buat kali pertama dalam kerjayanya.
“Dapat melihat hasil yang baik dalam beberapa minggu lalu memberi kesan positif kepada diri saya dan saya berharap dapat meneruskan momentum ini untuk beberapa minggu akan datang.
“Terdapat banyak perkara positif dan kenangan indah dari tahun lalu. Mungkin ada sedikit tekanan tambahan kerana saya ingin beraksi dengan baik dan mempertahankan gelaran saya.
“Ia adalah situasi yang unik. Saya berasa sangat bagus dan berharap dapat memberikan prestasi mantap minggu ini. Itu sahaja yang saya boleh harapkan, dan kita nantikan apa yang berlaku,” kata Celine pada sidang media, hari ini.
Sementara itu, pemain negara, Ashley Lau percaya semua pihak akan tertumpu kepadanya berikutan ketiadaan Kelly Tan pada edisi kedua Kejohanan Maybank kali ini.
Kelly terpaksa menarik diri daripada kejohanan minggu ini untuk menyertai peringkat kedua Siri Kelayakan LPGA, yang ditangguhkan sebelum ini akibat Taufan Milton.
“Pastinya tekanan lebih tinggi dengan ramai yang memberi tumpuan kepada kami.
“Saya percaya pada kebolehan saya dan cuba untuk tidak mempedulikan segala tekanan itu,” kata Ashley yang mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.
Kejohanan Maybank menawarkan hadiah wang tunai berjumlah AS$3 juta (RM12.9 juta) di mana pemenang akan membawa pulang AS$450,000 (RM1.9 juta).
© New Straits Times Press (M) Bhd