Amsterdam: Pemain pertahanan Matthijs de Ligt layak dipanggil semula ke skuad Belanda selepas menunjukkan prestasi cemerlang bersama Manchester United, kata jurulatih Belanda Ronald Koeman.
De Ligt yang menjaringkan gol penyamaan lewat ketika menentang Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu lalu, kembali ke skuad kebangsaan menggantikan pemain Inter Milan, Stefan de Vrij, yang digugurkan bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Poland dan Lithuania.
Pasukan Belanda kini mendahului Poland dengan kelebihan tiga mata serta perbezaan jaringan yang jauh lebih baik, dan akan layak ke pusingan akhir jika menang di Warsaw pada awal pagi Sabtu ini.
Jika tidak, mereka dijangka mengesahkan tempat apabila menentang Lithuania di Amsterdam pada Selasa depan.
“Sebahagiannya berdasarkan masa bermain, walaupun Nathan Ake tidak bermain dalam 50% perlawanan Manchester City, tetapi dia tetap menjadi sebahagian daripada skuad ini,” jelas Koeman mengenai pemain berusia 26 tahun itu dalam sidang media, malam tadi.
“Setiap pemain dinilai secara berasingan dalam skuad. Saya rasa saya perlu memilih Matthijs berdasarkan apa yang dia tunjukkan.Dia melalui tempoh sukar. Saya bercakap dengannya dan memberitahudia kelihatan tidak yakin dalam tindakannya, tetapi kini dia jauh lebih baik daan kedudukannya di kelab serta prestasi kelabnya akan sentiasa menjadi faktor penting,” tambah jurulatih itu.
Bagi Ake pula, Koeman berkata hakikat dia pemain kidal membantu mengimbangi bilangan pertahanan tengah yang dominan dengan kaki kanan dalam skuad tersebut.
“Nathan sendiri juga bimbang kerana dia tidak banyak bermain. Namun dia salah seorang kapten saya,” kata Koeman kepada wartawan.
“Dia seorang pemain kidal, sedangkan kami secara umum mempunyai ramai pertahanan tengah berkaki kanan. Itu menjadikan kehadirannya penting dalam skuad. Dia pemain yang penting dan sentiasa ada apabila saya memerlukannya.”
© New Straits Times Press (M) Bhd






