CEO GISBH dan isteri, anak Ashaari antara 22 dituduh esok

CEO GISBH dan isteri, anak Ashaari antara 22 dituduh esok



am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali antara 22 individu akan dituduh di Mahkamah Selayang esok.

Selain Nasiruddin, turut dituduh adalah isterinya Azura Md Yusof dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi.

Mereka semua akan didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pertuduhan itu dibuat selepas kertas siasatan itu dirujuk dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) petang tadi.

“Kesemua suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang esok pagi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro malam ini.

Pada 16 Oktober lalu, Nasiruddin antara 16 individu yang ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zin dilapor berkata, sejak Op Global dilancarkan pada 11 September lalu 58 individu ditahan mengikut Sosma termasuk 16 orang yang juga pengurusan tertinggi GISBH.

Mereka antara 415 individu yang ditahan dalam Op Global hingga fasa keempat.

Selain itu, seramai 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua orang diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.

Harian Metro dan Metro Ahad menerusi laporan eksklusif sejak 7 September lalu melaporkan, bakar tangan, cabut rumput sehingga penuh plastik hitam dan salah laku seksual antara bentuk penderaan yang dilakukan sebuah rumah kebajikan yang bernaung di bawah sebuah syarikat berkaitan produk Islam terkenal.

Malah, ada dalam kalangan mereka menjadi mangsa liwat dan lebih malang selepas diliwat mereka pula akan dipaksa meliwat rakan lain oleh penjaga.

Kegiatan penderaan fizikal itu dikatakan berlaku sejak lebih 10 tahun lalu membabitkan penghuni di rumah berkenaan terbongkar selepas seorang penjaga berusia 19 tahun ditahan pihak berkuasa Rabu lalu di Seremban, Negeri Sembilan.

Susulan pendedahan akhbar ini, ia turut mendapat perhatian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyelamatkan kanak-kanak terancam dan perlukan perlindungan.

Susulan itu, polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada 10 September lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top