KECERGASAN fizikal menjadi sorotan utama selepas pemain badminton negara menunjukkan tanda-tanda keletihan nyata di Masters China Super 750 yang berlangsung di Shenzhen Arena baru-baru ini.
Bekas Pengarah Berprestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj menegaskan bahawa pemain tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada program latihan rasmi.
Sebaliknya, beliau berkata, mereka perlu mengambil inisiatif sendiri bagi meningkatkan tahap stamina dan daya ketahanan.
“Pada peringkat ini, kecergasan fizikal menentukan segala-galanya. Apabila perlawanan berterusan hingga ke set ketiga, itu jelas menunjukkan tenaga pemain sudah mula merosot. Badminton menuntut pergerakan berterusan ke setiap penjuru gelanggang,” ujar James kepada Sukan Sinar.
Contoh paling jelas adalah pasangan beregu campuran, Cheng Tang Jie – Toh Ee Wei, yang terpaksa mengharungi tiga set dari pusingan kedua hingga separuh akhir.
Namun, kekuatan fizikal juara dunia berkenaan akhirnya merosot dan tunduk dalam perlawanan akhir menerusi kekalahan straight set.
James yang juga bekas pemain perseorangan lelaki negara mengingatkan bahawa pemain negara tidak boleh ketinggalan dalam aspek kecergasan, lebih-lebih lagi apabila berdepan kuasa besar seperti China, Jepun, Indonesia dan Korea Selatan, yang terkenal dengan stamina dan daya tahan tinggi.
“Pemain kita perlu sedar bahawa kemahiran teknikal sahaja tidak menjamin kejuaraan. Tanpa kekuatan fizikal untuk mengejar, melompat, dan pulih selepas setiap pertarungan, segala usaha itu akan menjadi sia-sia,” jelas beliau.
Menurut James, meskipun program latihan rasmi BAM penting, disiplin di luar gelanggang latihan juga tidak kurang signifikannya.
“Mereka mesti mengambil tanggungjawab terhadap kecergasan diri. Sama ada menambah sesi gim, latihan pecut atau rutin pemulihan, usaha tambahan daripada pemain sendiri amat diperlukan. Hanya dengan itu mereka mampu kekal cergas sepanjang siri kejohanan berturut-turut,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa atlet bertaraf dunia berkongsi satu persamaan utama iaitu kesanggupan melangkaui had maksimun.
“Jaguh dunia tidak menunggu dorongan jurulatih. Mereka menetapkan piawaian sendiri. Inilah mentaliti yang perlu ada pada pemain kita jika ingin bersaing di peringkat tertinggi,” katanya.
Bagi James, mesej jelas iaitu pemain badminton negara perlu berlatih bukan sahaja lebih keras tetapi juga lebih bijak, menumpukan kepada stamina, kelajuan, dan pemulihan.
“Dengan disiplin yang tepat, mereka bukan sahaja mampu bertahan dalam perlawanan tiga set yang memenatkan, bahkan mampu menamatkan perlawanan dengan kemenangan ke atas lawan terbaik dunia,” ujarnya.
MASTERS CHINA SUPER 750
AARON CHIA-SOH WOOI YIK
Beregu lelaki negara, Aaron Chia – Soh Wooi Yik, menunjukkan konsistensi apabila mara sehingga ke separuh akhir Masters China Super 750, sebelum disekat beregu dari India, Satwiksairaj Rankireddy – Chirag Shetty.
LALUAN
Pusingan Pertama: Menewaskan beregu Taiwan, Liu Kuang Heng – Yang Po Han, 23-21, 19-21, 21-19 (1 jam).
Pusingan Kedua: Mengatasi gandingan England, Ben Lane – Sean Vendy, 14-21, 21-15, 25-23 (1 jam 12 minit).
Suku Akhir: Mengatasi wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando – Bagas Maulana, 21-19, 21-18 (39 minit).
Separuh Akhir: Tewas kepada beregu India, Satwiksairaj Rankireddy – Chirag Shetty 17-21, 14-21 (41 minit)
.
PEARLY TAN-M THINAAH
Beregu wanita negara, Pearly Tan – M Thinaah, hampir mencipta sensasi apabila memberikan tentangan sengit sebelum tewas tipis kepada gandingan elit Korea Selatan, Baek Ha-na – Lee So-hee dalam aksi suku akhir.
LALUAN
Pusingan Pertama: Menewaskan gandingan Indonesia, Febriana Kusuma – Meilysa Puspitasari, 20-22, 21-16, 22-20 (1 jam 13 minit).
Pusingan Kedua: Mudah mengatasi wakil Amerika Syarikat, Francesca Corbett – Jennie Gai, 21-11, 21-8 (27 minit).
Suku Akhir: Tewas kepada pilihan utama Korea, Baek Ha-na – Lee So-hee, 21-23, 21-19, 20-22 (1 jam 28 minit).
CHEN TANG JIE-TOH EE WEI
Gandingan campuran negara, Chen Tang Jie – Toh Ee Wei, untuk menjulang kejuaraan sulung Siri Super 750 terkubur selepas tunduk kepada pasangan pilihan keempat dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh – Supissara Paewsampran dalam aksi final.
LALUAN
Pusingan Pertama: Menewaskan wakil Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi – Francesca Corbett, 21-12, 21-14 (31 minit).
Pusingan Kedua: Menyingkirkan gandingan Indonesia, Jafar Hidayatullah – Felisha Pasaribu, 21-13, 13-21, 21-16 (1 jam 3 minit).
Suku Akhir: Mengatasi wakil Hong Kong, Tang Chun Man – Tse Ying Suet, 21-12, 12-21, 21-17 (1 jam).
Separuh Akhir: Mengejutkan pilihan kedua tuan rumah, Feng Yan Zhe – Huang Dong Ping, 22-24, 21-19, 21-17 (1 jam 20 minit).
Final: Tewas kepada pilihan keempat Thailand, Dechapol – Supissara, 8-21, 17-21 (35 minit).
Ringkasan AI
- Keletihan pemain badminton negara ketara di Masters China Super 750.
- Kecergasan fizikal amat penting untuk kejayaan dalam badminton.
- Pemain perlu meningkatkan stamina dan daya tahan sendiri, selain latihan rasmi.
- Atlet bertaraf dunia mempunyai disiplin tinggi dan menetapkan piawaian sendiri.
- Kemahiran teknikal sahaja tidak cukup, kekuatan fizikal juga penting.