mohamadridzuan@hmetro.com.my
Sesuatu yang berbeza dan di luar kebiasaan apabila syarikat TGJ Entertainment dan MM Entertainment menganjurkan konsert berbayar iaitu Konsert Rentas Masa sempena penutup tahun 2024, sekali gus meraikan sambutan Tahun Baharu 2025 di Zepp Kuala Lumpur 31 Disember ini.
Semestinya, Konsert Rentas Masa bersaing hebat dengan pelbagai konsert percuma yang akan diadakan beberapa pihak di lokasi tumpuan ramai di ibu negara.
Bagaimanapun Pengarah konsert, Mohd Zawawi Taib atau Ovie melahirkan keyakinan konsert ini mendapat sambutan memandangkan ia dibarisi artis terkenal tanah air.
“Kami tampilkan tema Satu Evolusi Muzik kerana Konsert Rentas Masa merujuk kepada perubahan atau perkembangan muzik dari zaman ke zaman meliputi gaya, genre, instrumen dan teknologi yang mempengaruhi cara muzik dihasilkan serta dinikmati.
“Konsert Rentas Masa istimewa kerana ia ruang seisi keluarga menikmati hiburan bersama memandangkan artis yang membuat persembahan terdiri daripada penyanyi pelbagai lapisan usia,” katanya.
Menurutnya, konsert hiburan santai keluarga ini membawa penonton menyusuri dan menghayati evolusi muzik bermula dari irama 60-an, 70-an, 80-an, 90-an dan era millennium sehingga kini yang dibarisi artis hebat Datuk Jeffrydin, Datuk DJ Dave, Datuk Awie, Ziana Zain dan Ara Johari.
“Pemilihan artis berdasarkan tahun kegemilangan dan ini kali pertama mereka bergabung dalam konsert berskala besar untuk hiburan seisi keluarga pada malam tahun baharu 2025.
“Kita akan dapat lihat buat pertama kalinya artis legenda buat persembahan di pentas Zepp yang selama ini didominasi artis baharu yang popular sama ada artis tempatan mahupun antarabangsa.
“Keberadaan Jeffrydin dan DJ Dave umpama menzahirkan hasrat kami agar konsert ini dapat menerbitkan momen indah antara ahli keluarga (muda dan tua) kerana dapat sama-sama meraikan kehadiran 2025 dalam suasana lebih selamat dan selesa,” katanya.
Sementara itu, Datuk Awie berkata, dia teruja dan berbesar hati ditawarkan terbabit dengan konsert ini.
“Alhamdulillah… saya gembira dapat menyertai artis legenda lain berkongsi pentas di Zepp Kuala Lumpur.
“Saya berjanji semestinya berikan persembahan terbaik buat peminat yang hadir menyokong konsert ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd