Marang: Hanya linangan air mata dapat menggambarkan kesedihan bekas anggota skuad pertama VAT 69, Che Yak @ Embong Ngah, 77, yang kehilangan dua sahabat baik dalam pertempuran dengan pengganas komunis 35 tahun lepas.
Che Yak yang lebih mesra dengan panggilan Pok Yak berkata, khidmatnya kepada negara bermula selepas beliau menyertai pasukan Polis Hutan atau kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA) pada 8 Jun 1968.
Che Yak berkata, selepas tiga bulan latihan, beliau terpilih menyertai VAT 69 dan ditugaskan ke Sibu, Sarawak untuk operasi pertama menentang komunis daripada Parti Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU).
“Di Sarawak pasukan VAT 69 yang terdiri daripada 30 anggota bergabung dengan Sarawak Border Scouts yang dianggotai orang Iban untuk menangani ancaman komunis.
“Dalam tempoh beberapa hari di hutan, pasukan kami diserang hendap oleh kira-kira 60 komunis yang terkenal dengan tabiat suka menyembelih musuh. Bagaimanapun Alhamdulillah semua rakan selamat,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, semalam.
Che Yak baru-baru ini tular di media sosial berikutan aktiviti hariannya yang berjalan lebih 10 kilometer di sepanjang pantai di Marang sambil mengutip sampah.
Beliau yang berasal dari Kampung Duyong Besar di Kuala Terengganu berkata, sehingga hari ini beliau masih teringat peristiwa rakannya, Rizuan maut ditembak komunis di Hulu Kinta, Perak manakala seorang lagi, Zamri meninggal dunia selepas terkena jerangkap samar dipasang komunis di Sungai Siput, Perak.
Menurutnya, sepanjang 34 tahun berkhidmat, beliau menyertai belasan operasi menentang komunis sebelum mengundurkan diri daripada pasukan VAT 69 kerana menghidap penyakit apendiks.
“Rizuan kawan baik saya manakala ASP Zamri pegawai yang paling rapat. Kami banyak menyertai operasi bersama.
“Saya sempat berkhidmat selama tiga tahun dengan VAT 69 sebelum ditukar ke unit Persenjataan VAT 69 pada 1982 kerana penyakit apendiks. Untuk menyertai VAT 69, anggota perlu benar-benar sihat dan cergas kerana tugasnya sangat berat serta mencabar,” katanya yang memiliki seorang cahaya mata.
Che Yak berkata, beliau menamatkan tugas sebagai anggota polis berpangkat sarjan mejar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terenggganu pada 1 Februari 2004.
Dalam tempoh perkhidmatannya beliau menerima beberapa pingat iaitu Pingat Pangkuan Negara, Bentara Pasukan Polis dan Jasa Pahlawan Negara.
“Pesanan saya pada generasi hari ini ialah sentiasa bersedia mempertahankan negara, jangan biar ia tergadai di tangan orang asing.
“Nikmat kemerdekaan kita nikmati hari ini hasil keringat, darah dan air mata pejuang negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






