Chelsea bawa barisan bintang hadapi JDT

Chelsea bawa barisan bintang hadapi JDT


mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keterujaan menjelang aksi persahabatan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Chelsea terus memuncak apabila kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengesahkan senarai pemain yang akan dibawa ke Malaysia bagi mengharungi perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, 9 Ogos ini.

Antara nama yang bakal menjadi tumpuan ialah Cole Palmer, Joao Pedro, Estevao Willian, Liam Delap, Jamie Gittens, Levi Colwill, Wesley Fofana dan Romeo Lavia yang dijangka mengetuai cabaran The Blues pada perlawanan terakhir jelajah pramusim APAC mereka.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas Chelsea memulakan kempen pramusim di Australia dengan kemenangan 6-4 ke atas Western Sydney Wanderers.

Dalam perlawanan itu, Pedro mencuri tumpuan apabila meledak hatrik pada babak kedua, manakala Jamie Gittens, Dario Essugo dan penyerang muda, Dastan Satpayev turut menemui sasaran.

Bagi JDT, pertemuan dengan Chelsea menjadi satu lagi pentas menguji kemampuan mereka berdepan antara kelab elit Eropah selepas beberapa aksi berprofil tinggi sebelum ini.

Pada masa sama, perlawanan itu memberi peluang kepada penyokong bola sepak tempatan menyaksikan Chelsea beraksi di Johor buat kali pertama, selain menjadi kunjungan sulung kelab London itu ke Stadium Sultan Ibrahim.

Ketua jurulatih Chelsea, Xabi Alonso berkata, beliau dan pasukannya teruja untuk kembali ke Malaysia yang disifatkannya mempunyai kelompok penyokong Chelsea yang cukup besar dan setia.

“Saya tahu bahawa di Malaysia, Chelsea mempunyai penyokong yang sangat ramai dan sentiasa memberikan sokongan yang luar biasa. Kami tidak sabar untuk berkunjung ke Johor.

“Ke mana sahaja kami pergi di seluruh dunia, kami sentiasa dapat melihat sokongan dan semangat yang ditunjukkan oleh penyokong Chelsea. Mereka sanggup berusaha untuk hadir menyaksikan perlawanan kami dan kami amat menghargainya,” katanya.

Malaysia menjadi destinasi terakhir dalam siri jelajah pramusim APAC Chelsea selepas pasukan itu mengharungi beberapa aksi di Sydney, Hong Kong dan Jakarta sebelum pulang ke England bagi melengkapkan persiapan menghadapi musim baharu EPL.

Aksi antara JDT dan Chelsea dijadual berlangsung pada jam 8 malam, 9 Ogos ini di Stadium Sultan Ibrahim.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top