CHELSEA berdepan tindakan tegas apabila Persatuan Bola Sepak England (FA) mendakwa kelab itu dengan 74 pertuduhan melibatkan pelanggaran peraturan berhubung pembayaran kepada ejen antara tahun 2009 hingga 2022.
Difahamkan, sebahagian besar pertuduhan itu berkait dengan urusan perpindahan pemain antara musim 2010-11 hingga 2015-16, termasuk tiga perpindahan melibatkan Eden Hazard, Samuel Eto’o dan Willian. Bagaimanapun, tiada sebarang tuduhan salah laku dikenakan terhadap pemain-pemain terbabit.
Ketika itu, Chelsea berada di bawah pemilikan jutawan Rusia, Roman Abramovich sejak 2003 sebelum kelab itu dijual pada 2022 kepada konsortium yang diketuai pelabur Amerika Syarikat, Todd Boehly bersama firma ekuiti swasta Clearlake Capital.
Pertuduhan itu merangkumi isu melibatkan ejen, perantara dan pelaburan pihak ketiga dalam urusan pemain.
Chelsea dalam kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya sendiri yang melaporkan potensi pelanggaran peraturan tersebut kepada FA, selain diberikan tempoh sehingga 19 September untuk memberikan maklum balas.
Antara hukuman yang boleh dikenakan termasuk denda, larangan perpindahan pemain serta pemotongan mata. Namun, tahap kerjasama penuh Chelsea akan diambil kira dan kelab berkenaan dilaporkan tidak menjangkakan dikenakan hukuman membabitkan prestasi sukan.
Sumber dalaman Chelsea turut menegaskan mereka tidak bimbang mengenai kesan denda terhadap pematuhan peraturan keuntungan dan kelestarian (PSR) Liga Perdana Inggeris kerana telah mengambil kira kemungkinan hukuman sejak proses pengambilalihan pada 2022.
“Semasa proses pemeriksaan menyeluruh sebelum pembelian kelab diselesaikan, kumpulan pemilik menyedari terdapat kemungkinan laporan kewangan tidak lengkap berkaitan urus niaga lama dan pelanggaran peraturan FA.
“Sebaik sahaja pembelian selesai, kelab terus melaporkan perkara ini kepada semua badan pengawal selia berkaitan, termasuk FA.
“Kelab juga menunjukkan tahap ketelusan luar biasa sepanjang proses ini dengan memberikan akses penuh kepada fail kelab serta data sejarah,” jelas kenyataan Chelsea.
Dalam pada itu, Liga Perdana Inggeris mengesahkan kepada BBC Sport bahawa siasatan mereka terhadap Chelsea masih dijalankan.
Terdahulu pada 2023, Chelsea dikenakan denda oleh UEFA kerana mengemukakan maklumat kewangan tidak lengkap antara tahun 2012 hingga 2019.