PENGENDALI Chelsea, Enzo Maresca mengakui saingan Liga Juara-Juara menentang Benfica awal pagi Rabu di Stamford Bridge hadir pada saat getir buat pasukannya yang bergelut dengan prestasi hambar kebelakangan ini.
Chelsea hanya menang sekali dalam lima perlawanan terakhir selain tewas tiga kali daripada empat aksi terkini.
Kekalahan sulung kepada Bayern Munich minggu lalu menambah tekanan, dan kini mereka berdepan cabaran besar menentang Benfica yang dibimbing legenda Stamford Bridge, Jose Mourinho.
“Esok satu penghormatan besar buat saya untuk berdepan Jose. Dia legenda kelab ini, juga legenda di kelab lain termasuk Inter Milan yang dia bawa menjulang Liga Juara-Juara. Bagi saya, dia pengendali hebat dan dihormati di seluruh dunia,” kata Maresca.
Mourinho bermula garang sejak mengambil alih Benfica dengan rekod dua kemenangan dan satu keputusan seri dalam saingan Liga Primeira.
Maresca sedar rekod tanpa menang Benfica dalam tujuh pertemuan terakhir menentang kelab Inggeris mungkin tidak lagi relevan di bawah sentuhan bekas pengendali The Blues berkenaan.
“Saya menonton beberapa perlawanan Benfica sebelum ini, dan tiga atau empat di bawah Jose.
“Mereka kini tampil berbeza berbanding aksi di Piala Dunia Kelab. Saya jangka dua atau tiga pendekatan taktikal berbeza, mungkin 4-3-3, 4-2-3-1 atau juga bertahan dengan lima di belakang. Kami sudah ada pelan untuk semua kemungkinan itu,” jelasnya.
Selain ditanya taktikal, Maresca juga disoal bagaimana mahu kembali menambat hati penyokong Chelsea selepas rentetan keputusan mengecewakan.
Baginya, hanya satu jalan iaitu kelab London berkenaan perlu tampil dengan konsistensi dan kemenangan.
“Cara terbaik adalah terus menang piala. Saya ingat ketika menewaskan Southampton, penyokong menyanyi ‘Kami mahu Chelsea kami semula’.
“Suatu hari nanti, saya mahu dengar lagi nyanyian itu. Tetapi yang penting sekarang ialah kami menang perlawanan dan buat penyokong gembira.
“Realitinya, dalam enam bulan terakhir kami hanya kalah lima perlawanan, empat daripadanya kerana kad merah.
“Jadi saya lihat tidak ada sebab untuk terlalu negatif. Tekanan di Chelsea itu normal sebagai pengendali, anda mesti menang, tiada kompromi,” tegasnya.
LIGA JUARA-JUARA EROPAH 2025/26
RABU (1 SEPTEMBER)
Kairat lwn Real Madrid
(Stdm Ortalyq, 12.45 pagi)
Atalanta lwn Club Brugge
(Stdm Gewiss, 12:45 pagi)
Marseille lwn Ajax Amsterdam
(Stdm Orange Vélodrome, 3 pagi)
Inter lwn Slavia Praha
(Stdm San Siro, 3 pagi)
Chelsea lwn Benfica
(Stdm Stamford Bridge, 3 pagi)
Galatasaray lwn Liverpool
(Stdm RAMS Park, 3 pagi)
Pafos lwn Bayern Munich
(Stdm Alphamega, 3 pagi)
Bodø/Glimt lwn Tottenham Hotspur
(Stdm Aspmyra, 3 pagi)
Atlético Madrid lwn Eintracht Frankfurt
(Riyadh Air Metropolitano, 3 pagi)
Ringkasan AI
- Chelsea hanya menang sekali dalam lima perlawanan terakhir
- Kekalahan kepada Bayern Munich menambah tekanan pada Chelsea
- Jose Mourinho, legenda Stamford Bridge, kini mengendalikan Benfica
- Maresca menghormati Mourinho dan bersedia dengan beberapa pendekatan taktikal
- Chelsea perlu menunjukkan konsistensi dan kemenangan untuk menyenangkan penyokong






