Chelsea ikat Newcastle di St James Park

Chelsea ikat Newcastle di St James Park


Newcastle: Newcastle United terpaksa berpuas hati berkongsi mata selepas diikat 2-2 oleh Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang menghiburkan di St James’ Park, awal pagi tadi.

Penyerang tuan rumah, Nick Woltemade tampil cemerlang pada separuh masa pertama dengan dua gol, namun kelebihan itu dipadamkan jaringan sepakan percuma Reece James dan gol penyamaan Joao Pedro.

Woltemade menebus kekecewaan selepas menjaringkan gol sendiri ketika kekalahan derbi kepada Sunderland minggu lalu apabila membuka jaringan seawal minit keempat hasil tolakan mudah selepas menyambar bola muntah, sebelum menggandakan kedudukan pada minit ke-20 menerusi hantaran Anthony Gordon.

Chelsea bangkit pada separuh masa kedua apabila kapten pasukan, Reece James merapatkan jurang empat minit selepas rehat dengan sepakan percuma lencong yang menewaskan penjaga gol Newcastle.

Usaha berterusan pasukan pelawat akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-66 apabila Joao Pedro melepasi kawalan pemain lawan untuk menyempurnakan hantaran jauh dan mengikat kedudukan 2-2.

Newcastle hampir meraih kemenangan menerusi pemain gantian, Harvey Barnes, namun dua peluang keemasan gagal dimanfaatkan sekali gus memaksa kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top