Chelsea juara Piala Dunia Kelab 2025

Chelsea juara Piala Dunia Kelab 2025


COLE Palmer mempamerkan aksi kelas dunia apabila meledak dua gol dan mencipta satu bantuan jaringan dalam separuh masa pertama ketika Chelsea membenam Paris Saint-Germain (PSG) 3-0 pada final Piala Dunia Kelab di Stadium MetLife, East Rutherford, New Jersey awal pagi Isnin.

Perlawanan yang dihadiri 81,118 penonton itu menyaksikan kelab England berkenaan mendominasi sepenuhnya permainan, sekali gus menundukkan juara Eropah dan Perancis yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain di penghujung aksi.

Palmer membuka tirai jaringan pada minit ke-22 selepas kesilapan pertahanan PSG, Nuno Mendes yang menghadiahkan bola kepada Malo Gusto.

Percubaan awal Gusto dihalang Mendes, namun pemain itu bijak mendapatkan semula bola dan melorongkan kepada Palmer yang tidak dikawal.

Pemain muda England itu tenang menyudahkan peluang dengan rembatan ke tiang kiri gol menewaskan Gianluigi Donnarumma.

Selepas rehat penyejukan minit ke-30, Palmer terus menyinar apabila menggandakan kelebihan Chelsea menerusi jaringan cantik hasil lorongan Levi Colwill.

Beliau memotong masuk ke dalam kotak penalti, memperdaya pertahanan lawan dengan gerakan sebelum menyepak leret ke penjuru kiri sekali lagi menewaskan Donnarumma.

Tidak cukup dengan dua jaringan, Palmer kemudian bertindak selaku pencipta gerakan gol ketiga.

Larian bijaknya di bahagian tepi disudahkan dengan hantaran kepada Joao Pedro yang bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum menewaskan Donnarumma dengan lambungan kemas pada minit ke-41.

PSG terus dirundung malang apabila pemain tengah Les Parisiens, Joao Neves dilayangkan kad merah pada minit ke-83 selepas menarik rambut Marc Cucurella dalam insiden yang mencetuskan kekecohan kecil.

Kemenangan Chelsea membolehkan The Blues membawa pulang trofi kejuaraan kelab dunia format baharu 32 pasukan yang diperkenalkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Format lama sebelum ini dimenangi Manchester City yang menewaskan Fluminense, 3-0 dalam perlawanan akhir edisi Arab Saudi 2023.

Ini merupakan kejuaraan kedua Chelsea selepas merangkul kejuaraan sama edisi Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2021 selepas menewaskan Palmeiras, 2-1 dalam masa tambahan.

Sementara itu, pengendali Chelsea, Enzo Maresca menzahirkan rasa bangga terhadap persembahan juara Liga Konferensi Europa berkenaan dan menyifatkan kemenangan tersebut hasil komitmen berpasukan sejak wisel pertama.

“Saya tiada kata-kata untuk pemain-pemain. Mereka semua layak menerima kemenangan ini. Kami memenangi perlawanan ini dalam 10 minit pertama apabila berjaya menetapkan rentak dan tekanan ke atas lawan,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi Palmer, Maresca berkata pemain itu ditempatkan di posisi yang membolehkannya mengeksploitasi ruang dengan lebih baik.

“Cole bermain dengan sangat baik, tetapi keseluruhan pasukan menunjukkan kerja keras yang luar biasa.

“Saya amat teruja dengan masa depan Chelsea, tetapi lebih teruja kerana kami akan bercuti selama tiga minggu selepas ini,” selorohnya.



Source link

OR

Scroll to Top