Chelsea mandi peluh ke suku akhir Piala FA

Chelsea mandi peluh ke suku akhir Piala FA


Wrexham: Jaringan lewat masa tambahan oleh Alejandro Garnacho dan Joao Pedro membantu Chelsea mencatat kemenangan dramatik 4-2 ke atas kelab divisyen kedua, Wrexham, awal pagi tadi, sekali gus melangkah ke suku akhir Piala FA.

Garnacho menjaringkan gol menerusi voli jarak dekat pada minit ke-97, dengan rembatan kencangnya membuatkan bola melantun dari rangka belakang gawang, sekali gus memberikan Chelsea kelebihan pertama dalam perlawanan itu.

Wrexham yang kehilangan George Dobson selepas dilayangkan kad merah pada minit ke-93, hampir menyamakan kedudukan dalam masa tambahan apabila Lewis Brunt menanduk masuk bola, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.

“Memang mengecewakan, pengalaman pertama kami dengan VAR (Video Bantuan Pengadil) berakhir begini,” kata pengurus Wrexham, Phil Parkinson, kepada TNT Sports.

Joao Pedro kemudian memastikan kemenangan Chelsea menerusi jaringan jarak dekat pada minit ke-125 selepas perlawanan sengit itu berlarutan ke masa tambahan.

Terdahulu, Sam Smith meletakkan kelab Liga Kejuaraan itu di depan pada minit ke-18 selepas menyambut hantaran jauh Callum Doyle sebelum menewaskan penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez.

Chelsea menyamakan kedudukan dengan sedikit tuah apabila percubaan Garnacho terkena Arthur Okonkwo selepas percubaan George Thomason untuk mengeluarkan bola sebelum bergolek masuk ke gawang sendiri.

Wrexham kembali mendahului pada minit ke-78 apabila Doyle menolak bola melepasi Sanchez selepas Ryan Longman menghantar semula bola ke dalam kawasan penalti hasil sepakan penjuru.

Namun, Josh Acheampong menyamakan kedudukan tidak lama kemudian menerusi rembatan kencang ke bumbung gawang selepas Dobson tergelincir, memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Chelsea yang sudah lapan kali menjulang trofi Piala FA dan kini berada di tangga kelima liga, turun ke perlawanan itu selepas membelasah Aston Villa 4-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Rabu lalu.

Pengurus mereka, Liam Rosenior, membuat sembilan perubahan dalam kesebelasan utama bagi perlawanan itu.

“Kami berjaya mara. Ia bukan persembahan terbaik, perlawanan yang sangat sukar seperti yang kami jangkakan. Wrexham bermain dengan hebat.

“Inilah perlawanan sebenar Piala FA yang menyebabkan mengapa semua orang menyukai kejohanan ini. Saya gembira pada akhirnya kami berjaya mara,” kata Rosenior.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top