Chelsea melangkah ke final Piala Dunia Kelab

Chelsea melangkah ke final Piala Dunia Kelab


Pedro menyertai Fluminense ketika berusia 9 tahun bermain sehingga tahun 2019. Foto Agensi.

 

PEMAIN baharu Chelsea, Joao Pedro mencuri tumpuan apabila meledak dua gol menentang bekas kelabnya, Fluminense sekali gus membantu The Blues melangkah ke pentas final Piala Dunia Kelab 2025 selepas mencatat kemenangan 2-0 dalam aksi separuh akhir di Stadium MetLife, pada Rabu.

Penyerang Brazil berusia 23 tahun yang baru sahaja menyertai Chelsea dari Brighton & Hove Albion dengan nilai perpindahan sekitar 60 juta pound sterling (RM346 juta), menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-18 menerusi rembatan sebelum melengkapkan hari gemilangnya dengan satu lagi jaringan pada minit ke-56 hasil serangan balas pantas.

Kehadiran seramai 70,556 penyokong di stadium tersebut menjadikan perlawanan itu antara yang paling tinggi dihadiri sepanjang kejohanan edisi 32 kelab jagoan dunia kali ini.

Pedro yang merupakan produk akademi Fluminense dan melakukan penampilan profesional pertama ketika berusia 17 tahun enggan meraikan jaringannya sebagai tanda penghormatan terhadap bekas kelab yang membarakan namanya.

Fluminense tampil dengan pendekatan bertahan menggunakan formasi lima pertahanan dan cuba memerangkap Chelsea menerusi serangan balas.

Bagaimanapun, anak buah Renato Gaúch tetap sukar menyekat kreativiti skuad bimbingan Enzo Maresca kelahiran Itali itu.

Fluminense hampir menyamakan kedudukan pada babak pertama, namun rembatan Hercules diselamatkan di atas garisan oleh Marc Cucurella.

Pasukan Brazil itu juga terlepas peluang keemasan apabila diberikan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Trevoh Chalobah setelah keputusan dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).

Kemenangan itu membolehkan Blues menanti pemenang satu lagi aksi separuh akhir Real Madrid menentang Paris Saint-Germain (PSG) yang dijadualkan berlangsung di New Jersey pada Khamis.

Perlawanan separuh akhir Chelsea, Fluminense di Stadium MetLife, berlangsung dalam cuaca panas melampau dengan suhu mencecah 35 darjah Celsius dan kelembapan melebihi 54 peratus, menyebabkan Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat mengeluarkan amaran cuaca panas

 



Source link

OR

Scroll to Top