Chelsea nyalakan peluang ke Liga Juara-Juara

Chelsea nyalakan peluang ke Liga Juara-Juara


IMPIAN Chelsea untuk kembali beraksi di Liga Juara-Juara semakin membara selepas menundukkan juara Liga Perdana Inggeris yang tampak longlai, Liverpool, dengan kemenangan 3-1 di Stamford Bridge.

Kemenangan ini melonjakkan skuad kendalian Enzo Maresca ke tangga kelima liga dengan 63 mata, hanya dibezakan dengan Newcastle United di tangga keempat menerusi perbezaan gol.

Kedua-dua pasukan kini hanya ketinggalan satu mata di belakang Manchester City yang menduduki tangga ketiga, dengan baki tiga perlawanan.

Perlawanan di London baru sahaja memasuki minit ketiga apabila Cole Palmer menemui Neto di sayap, yang kemudiannya melakukan hantaran lintang ke arah Enzo Fernandez yang tidak dikawal.

Pemain Argentina itu kemudian melepaskan rembatan rendah yang menewaskan penjaga gol Liverpool, Alisson Ramses Becker

Palmer sekali lagi memainkan peranan penting dalam gol kedua Chelsea apabila hantarannya ke dalam kotak penalti cuba dikeluarkan oleh kapten Liverpool, Virgil van Dijk, namun bola terkena rakan sepasukannya, Jarell Quansah, dan melantun masuk ke gawang sendiri.

Palmer kemudian menamatkan kemarau golnya sejak pertengahan Januari apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-96, susulan kekasaran Quansah terhadap Moises Caicedo.

“(Palmer) layak mendapatkannya. Dia bekerja keras untuk menjaringkan gol. Sekarang adalah peluangnya dan dia menjaringkannya,” kata Caicedo.

Van Dijk sempat merapatkan jurang buat Liverpool pada minit ke-84 menerusi tandukan dari sepakan penjuru penghujung perlawanan.

Sebagai rekod, Liverpool tampil dengan enam perubahan dalam kesebelasan utama mereka selepas mengesahkan gelaran juara liga pada hujung minggu lalu.

“Saya rasa kami bermain dengan baik, pasukan menunjukkan karakter. Kami gembira mengharungi perlawanan ini. Ada peluang untuk kami menjaringkan gol – pada akhirnya mereka layak menang,” akui Van Dijk.

Sementara itu, Newcastle United gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat lawan apabila terikat 1-1 dengan Brighton & Hove Albion di Stadium Komuniti American Express.

Newcastle berjaya mencuri satu mata berharga dalam usaha mereka memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara menerusi sepakan penalti Alexander Isak pada penghujung perlawanan.

Brighton tampak hampir meraih kemenangan selepas pemain sayap mereka, Yankuba Minteh, meledak gol pada minit ke-28 separuh masa pertama.

Namun, Isak dengan tenang menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-89, menewaskan penjaga gol Bart Verbruggen untuk gol liga ke-23nya musim ini.

“Segalanya masih terbuka… Kami mempunyai tiga perlawanan besar, tiga perlawanan sangat sukar dengan cara yang berbeza. Dua daripadanya di tempat sendiri dan kami berharap itu dapat membuat perbezaan,” kata pengendali Newcastle, Eddie Howe.

Sementara itu, pertembungan London, West Ham United dan Tottenham terikat 1-1, kekal berada di atas zon penyingkiran.

Spurs yang melakukan banyak perubahan dalam kesebelasan utama membuka jaringan pada minit ke-15 menerusi Wilson Odobert, namun kelebihan itu hanya bertahan 13 minit sebelum Jarrod Bowen menyamakan kedudukan buat tuan rumah.

Keputusan seri itu meletakkan Spurs di tangga ke-16 dan berdepan potensi catatan terburuk sejak 1977, hanya satu mata di atas West Ham di tangga ke-17 yang kini tanpa kemenangan dalam lapan perlawanan liga terakhir.

“Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar, kami melakukan banyak perubahan yang tidak membantu keserasian dan kelancaran tetapi para pemain bekerja sangat keras,” kata pengendali Spurs, Ange Postecoglou.



Source link

OR

Scroll to Top