Chelsea sudah sedia gegar EPL, Liga Juara-Juara

Chelsea sudah sedia gegar EPL, Liga Juara-Juara


PERTAHANAN muda Chelsea, Levi Colwill yakin kejayaan menjulang Piala Dunia Kelab mampu menjadi pemangkin kepada kebangkitan The Blues dalam usaha memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Pemain berusia 22 tahun itu beraksi dalam kesebelasan utama ketika Chelsea mengejutkan juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), dengan kemenangan bergaya 3–0 di Stadium MetLife, New Jersey sekali gus dinobatkan juara dunia untuk tempoh empat tahun menerusi kejohanan baharu yang diperluas oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ketika ditanya sama ada Chelsea mampu memanfaatkan kejayaan itu untuk menjulang trofi utama Eropah dan domestik, Colwill berkata, dia yakin juara Piala Konferensi Europa itu mampu pergi lebih jauh dalam saingan musim 2025/26.

“Sudah tentu. Saya pernah katakan sebelum kejohanan ini bahawa matlamat kami adalah untuk menang, dan ramai yang pandang remeh serta kata saya ‘gila’. Jadi saya akan ulang perkara sama sekarang sasaran kami musim depan ialah kejuaraan EPL dan Liga Juara-Juara.

“Ini adalah trofi terbesar saya setakat ini. Bagi saya, Piala Dunia Kelab akan menjadi lebih besar daripada Liga Juara-Juara kerana kami pasukan pertama yang memenanginya dalam format baharu ini.

“Ia kemenangan yang beri kenyataan besar. Dan kalau kami terus menang trofi selepas ini, orang pasti akan beri penghargaan yang sepatutnya kepada kami. Tapi itu hanya masa yang akan tentukan. Bagi saya, kami sudah bersedia. Musim depan akan buktikan,” katanya.

Sebagai rekod, Chelsea menamatkan kempen EPL musim lalu di tangga keempat dan turut merangkul kejuaraan Liga Konferensi dalam musim pertama yang memberangsangkan di bawah kendalian pengendali baharu, Enzo Maresca.

Ia juga menjadi detik kebangkitan buat pemilik bersama Chelsea, Todd Boehly dan Clearlake Capital, yang meraih kejayaan sulung sejak mengambil alih kelab itu pada 2022.

Meskipun pendekatan mereka membeli ramai pemain muda dengan kontrak jangka panjang pernah dikritik, Colwill percaya Chelsea kini memiliki skuad mantap untuk mengulangi zaman kegemilangan kelab.

“Kami satu pasukan dan itu adalah identiti Chelsea. Kami saling menyokong dalam apa jua keadaan.

“Pemain seperti John Terry, Frank Lampard dan Didier Drogba memulakan warisan itu, dan kami kini meneruskannya.

“Mereka semua legenda yang banyak menang trofi. Tapi kami juga ada barisan pemain muda yang hebat dan itu rancangan kami, menangi trofi terbesar untuk Chelsea.

“Kami sudah buktikan kami mampu. Ramai kata PSG pasukan terbaik dunia, tapi kami menang 3–0,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top