Chelsea tanpa Pedro berdepan Bayern

Chelsea tanpa Pedro berdepan Bayern


London: Pengendali Chelsea, Enzo Maresca mendedahkan Joao Pedro masih belum berada pada tahap kecergasan 100 peratus, sekali gus menimbulkan keraguan mengenai penglibatannya menentang Bayern Munich apabila The Blues membuka kempen Liga Juara-Juara (UCL) di Jerman awal pagi Khamis ini selepas dua tahun tidak beraksi dalam saingan berprestij itu.

Pedro, penyerang Brazil bernilai £60 juta (RM360 juta), diturunkan sebagai kesebelasan utama dan bermain 79 minit ketika Chelsea seri 2-2 menentang Brentford, Sabtu lalu, sebelum dibolosi pada masa kecederaan.

Namun, Pedro sebelum itu sudah memaklumkan kepada Maresca bahawa dia tidak benar-benar cergas.

Pemain berusia 23 tahun itu beraksi dua kali bersama skuad Brazil ketika rehat antarabangsa tetapi tidak diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan kedua.

Walaupun menyumbang bantuan gol untuk jaringan penyamaan Cole Palmer menentang Brentford, bekas penyerang Brighton itu gagal mempamerkan aksi terbaiknya dan tidak melakukan sebarang percubaan ke arah gawang.

Maresca membuat beberapa rombakan kesebelasan utama dengan mengambil kira aksi menentang Bayern, namun kelemahan di jentera serangan memaksanya mengekalkan Pedro biarpun penyerang itu belum cergas sepenuhnya.

“Joao Pedro, sebelum perlawanan, memberitahu saya dia tidak cergas 100 peratus, lebih baik dia tidak bermain.

“Jika saya fikir tentang perlawanan menentang Bayern, Joao sepatutnya berada di bangku simpanan. Tetapi dia tetap bermain kerana fokus kami adalah perlawanan menentang Brentford.

“Sudah tentu, apabila anda berdepan terlalu banyak perlawanan, anda perlu merancang pilihan lain.

“Sebagai contoh, Reece James bermain dua perlawanan bersama skuad kebangsaan. Jadi, malam ini dia beraksi dengan memikirkan perlawanan pada Khamis nanti.

“Sebab utamanya ialah jika musim ini kami bermain UCL, ia kerana kami lakukan dengan baik dalam Liga Perdana (EPL). Dan jika kami mahu kembali lagi musim depan, kami perlu lakukan dengan baik dalam EPL,” kata Maresca.

Dalam masa sama, Chelsea memanggil pulang penyerang muda Marc Guiu hanya selepas beberapa minggu dipinjamkan ke Sunderland, berikutan kecederaan hamstring dialami Liam Delap bernilai £30 juta (RM180 juta) yang bakal menyisihkannya sehingga Disember.

Seorang lagi penyerang, Nicolas Jackson pula dipinjamkan ke Bayern dan dibenarkan beraksi menentang kelab induknya di Allianz Arena.

Maresca tetap yakin dengan prestasi anak buahnya biarpun kecewa gagal menamatkan perlawanan dengan kemenangan ketika menentang Brentford.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top