Chelsea tumbang lagi, Maresca makin tertekan

Chelsea tumbang lagi, Maresca makin tertekan


Layangan kad merah ke atas Chalobah berikutan kekasaran terhadap Diego Gómez ternyata jejas momentum Chelsea. Foto: Agensi

PEMENANG Piala Dunia Kelab, Chelsea terus dirundung malang apabila tewas 1-3 kepada Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pengendali, Enzo Maresca.

Kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas 1-2 kepada Manchester United pada 21 September lalu itu menyaksikan penyokong Blues meluahkan rasa kecewa dengan sorakan ‘boo’ selepas perlawanan.

Chelsea yang terikat 1-1 kehilangan momentum selepas Trevoh Chalobah dilayangkan kad merah pada minit ke-53.

Situasi itu dimanfaatkan Brighton apabila dua pemain gantian, Danny Welbeck dan Maxim de Cuyper meledak gol pada masa kecederaan 11 minit untuk memastikan kemenangan bergaya pelawat.

Maresca sebelum ini berada di kemuncak selepas membawa Chelsea menjulang Liga Konferensi Europa, layak ke Liga Juara-Juara dan menambah koleksi dengan Piala Dunia Kelab.

Namun, selepas enam aksi Liga Perdana Inggeris, Blues hanya mengutip lapan mata dan mula tercicir daripada kelompok teratas.

Difahamkan pengurusan kelab menetapkan sasaran jelas mara ke Liga Juara-Juara musim depan sebelum menilai kedudukan Maresca pada akhir musim.

Selepas kekalahan itu, lima watak utama pengurusan The Blues, Paul Winstanley, Laurence Stewart, Sam Jewell, Joe Shields dan pemilik bersama Behdad Eghbali dilihat memasuki bilik persalinan pasukan.

Maresca bagaimanapun menegaskan situasi tersebut bukan perkara luar biasa.

“Mereka memang selalu masuk selepas perlawanan. Kami ada pejabat khas di bilik persalinan untuk berbincang tentang permainan. Ia bukan perkara baharu,” jelasnya.

Walaupun cuba meredakan keadaan, tekanan jelas semakin menghimpit pengendali Itali itu, dengan misi Liga Juara-Juara semakin berliku dengan kunjungan gergasi Portugal, Benfica ke London bagi saingan tertinggi kelab Eropah berkenaan.

Ringkasan AI

  • Chelsea tewas 1-3 kepada Brighton dalam Liga Perdana Inggeris, meningkatkan tekanan terhadap pengendali Enzo Maresca
  • Kekalahan ini adalah yang kedua berturut-turut selepas tewas kepada Manchester United, menyebabkan penyokong meluahkan rasa kecewa
  • Chelsea kehilangan momentum selepas Trevoh Chalobah menerima kad merah, membolehkan Brighton menjaringkan dua gol pada masa kecederaan
  • Chelsea hanya mengutip lapan mata dari enam perlawanan Liga Perdana Inggeris, menjauhkan mereka daripada kelompok teratas
  • Tekanan terhadap Maresca bertambah dengan sasaran kelab untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan



Source link

OR

Scroll to Top