Cheras hab pickleball, SP Sports Park sediakan tiga gelanggang berkualiti

Cheras hab pickleball, SP Sports Park sediakan tiga gelanggang berkualiti


firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kawasan Cheras dilihat berpotensi besar muncul sebagai hab sukan baharu khususnya bagi permainan pickleball yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai berkata, perkembangan pesat sukan itu di kawasannya didorong kehadiran ramai bakat muda selain kemudahan sukan yang semakin lengkap.

Menurutnya, usaha pihak SP Sports Park wajar dipuji apabila menyediakan gelanggang pickleball baharu yang mampu merancakkan lagi pembangunan sukan berkenaan.

“Selain pickleball, kemudahan futsal yang tersedia turut menjadikan lokasi ini sebagai pusat tumpuan komuniti setempat untuk bersukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Junior Rising Cup 2026, yang turut menyaksikan pembukaan rasmi gelanggang pickleball di kompleks berkenaan, baru-baru ini.

Tambahnya, sukan berperanan penting sebagai medium penyatuan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti.

“Melalui sukan, kita dapat lihat bagaimana masyarakat berbilang kaum dapat berkumpul, berinteraksi dan membina hubungan yang lebih erat,” katanya.

Untuk rekod, SP Sports Park kini menyediakan tiga gelanggang pickleball lengkap dengan pelbagai kemudahan asas termasuk kafe, skrin tayangan gergasi, ruang istirahat selesa, tandas bersih serta parkir yang mencukupi.

Kemudahan gelanggang futsal yang turut disediakan menjadikan kompleks itu sebagai antara destinasi sukan komuniti yang semakin mendapat perhatian di sekitar Cheras.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top