Paris: Bintang muda Lyon, Rayan Cherki, akhirnya menerima panggilan pertama ke skuad senior Perancis apabila disenaraikan oleh Didier Deschamps bagi menghadapi saingan separuh akhir Liga Negara-Negara menentang Sepanyol di Stuttgart pada 6 Jun ini.
Pemain berusia 21 tahun itu sebelum ini mencuri perhatian selepas mencatat lapan gol dan 11 bantuan jaringan dalam kempen Ligue 1, sekali gus mencetuskan minat dari beberapa kelab gergasi England termasuk Manchester United dan Liverpool, menurut laporan media Perancis dan Britain.
“Rayan sepatutnya boleh dipanggil seawal Mac lalu. Dia sangat berpengaruh musim ini, baik dari segi gol mahupun bantuan jaringan,” kata Deschamps.
Cherki, yang juga layak beraksi untuk Algeria dan Itali, pernah menjadi tonggak pasukan Bawah 21 Tahun (B-21) Perancis dan pemilihannya kali ini sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depannya di pentas antarabangsa.
Namun, Deschamps menegaskan beliau tidak pernah memaksa mana-mana pemain untuk memilih Perancis berbanding negara lain yang layak mereka wakili.
“Saya tidak pernah menyekat atau mempengaruhi keputusan pemain. Pemilihan saya berdasarkan keperluan skuad, bukan untuk menghalang mereka daripada mewakili negara lain,” jelasnya.
Cherki dijangka terlepas Euro B-21 di Slovakia, yang dijadual bermula sejurus selepas saingan Liga Negara-Negara berakhir pada 9 Jun.
Dalam perkembangan lain, Deschamps kehilangan beberapa tonggak utama di benteng pertahanan apabila Dayot Upamecano, William Saliba dan Jules Kounde disahkan menarik diri akibat kecederaan.
Sebagai ganti, Lucas Hernandez dari Paris St Germain kembali disenaraikan bersama beberapa muka baharu termasuk Loic Bade, Pierre Kalulu, Malo Gusto (Chelsea) dan Clement Lenglet (Atletico Madrid).
Deschamps turut kehilangan Eduardo Camavinga (Real Madrid) yang mengalami kecederaan hamstring.
© New Straits Times Press (M) Bhd