Chi Hui penerima tertinggi insentif Para Sukma Kontinjen Pahang

Chi Hui penerima tertinggi insentif Para Sukma Kontinjen Pahang


EMPAT pingat emas dan kejayaan memecah rekod kebangsaan dalam acara memanah pada temasya Para Sukma XXI Sarawak 2024, September tahun lalu ‘rezeki’ bagi Loh Chi Hui apabila dipilih sebagai penerima tertinggi Insentif Para Sukma XXI 2024 Kontinjen Pahang.

Atlet memanah recurve wanita Pahang berusia 35 tahun itu tersenyum puas apabila membawa pulang insentif dengan jumlah keseluruhan RM30,000.

Chi Hui berkata, dia sendiri tidak menjangkakan tuah memihak kepadanya pada temasya sukan tersebut.

“Pada awalnya sasaran hanya dua emas namun hasil latihan berterusan dan perjuangan bersungguh-sungguh, saya berjaya meraih empat pingat emas.

“Paling manis apabila berjaya melepasi sasaran peribadi dan jurulatih apabila memecahkan dua rekod kebangsaan untuk membawa pulang pingat emas termasuk mencipta rekod baharu kebangsaan dalam acara 70 meter recurve individu wanita,” katanya.

Atlet wanita yang turut dinobatkan sebagai Olahragawati Para Sukma XXI Sarawak itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Insentif Para Sukma XXI 2024 Kontinjen Pahang di sini pada Selasa.

Insentif itu disampaikan sendiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy bergambar bersama sebahagian penerima Insentif Para Sukma XXI 2024 Kontinjen Pahang dan penerima anugerah NGO Sukan Massa pada majlis penyerahan pada Selasa.

Turut hadir, Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal.

Atlet yang kini terpaksa berkerusi roda ekoran terlibat kemalangan sewaktu Tingkatan Tiga berkata, awalnya dia tidak tahu mengenai kenaikan jumlah isentif ini kerana berita baik itu hanya diumumkan kerajaan negeri selepas temasya tersebut.

Chi Hui berkata, insentif pingat emas atlet Para Sukma dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebagaimana yang diberikan kepada atlet Sukma sebelum ini.

“Bagi pingat perak, RM3,000 dan gangsa,RM2,000,” ujarnya.

Dia yang kini bergelar atlet sepenuh masa berterima kasih atas penghargaan kerajaan negeri kerana baginya insentif tersebut satu suntikan semangat untuk atlet sepertinya terus berusaha berjuang mengharumkan nama Pahang.

“Dengan insentif ini, saya akan berusaha lebih lagi untuk sasaran emas pada Sukma Ke-22 di Selangor tahun hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, seramai 31 atlet Para Sukma Pahang menerima insentif yang disediakan kerajaan negeri dengan peruntukkan keseluruhan hampir RM300,000.

“Insentif yang dijanjikan dan diserahkan hari ini adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri atas komitmen para atlet dan semua pihak terlibat.

“Kerajaan negeri juga akan sentiasa membantu dan menambah baik kemudahan-kemudahan sukan di negeri ini termasuk untuk atlet kurang upaya,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Menurutnya, Para Sukma XXI 2024 telah menunjukkan peningkatan pencapaian atlet Para Sukma apabila berjaya meraih 15 pingat emas melebihi 10 pingat emas yang disasarkan.

“Insya-ALLAH pencapaian dan kejayaan ini akan diteruskan pada Para Sukma Ke-22 di Selangor tahun hadapan.

“Sekiranya kejayaan ini dapat diteruskan, kita (kerajaan negeri) tiada masalah untuk kaji balik untuk naikkan insentif ini sekiranya kewangan mengizinkan,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top