China pecat Ivankovic selepas gagal layak ke Piala Dunia 2026

China pecat Ivankovic selepas gagal layak ke Piala Dunia 2026


Beijing: Persatuan Bola Sepak China (CFA) hari ini mengesahkan pemecatan ketua jurulatih kebangsaan, Branko Ivankovic susulan kegagalan skuad negara itu layak ke Piala Dunia 2026.

Keputusan itu diambil selepas prestasi hambar sepanjang kempen kelayakan, termasuk kekalahan mengejut 0-1 kepada Indonesia pada awal Jun yang secara tidak langsung memadamkan impian China ke pentas dunia buat kali kedua dalam sejarah.

China menamatkan kempen di tangga kedua tercorot kumpulan Asia, dengan tujuh kekalahan dalam 10 perlawanan, satu pencapaian mengecewakan buat negara yang pernah mensasarkan impian besar dalam bola sepak antarabangsa.

“Disebabkan pasukan lelaki kebangsaan gagal layak ke peringkat play off, kontrak jurulatih dan staf kejurulatihannya ditamatkan secara automatik seperti yang termaktub dalam terma perjanjian,” menurut kenyataan rasmi CFA.

“Ivankovic tidak lagi akan membimbing pasukan kebangsaan. Kami mengucapkan terima kasih atas segala usaha dan kerja keras beliau,” tambah CFA mengenai jurulatih dari Croatia itu yang pernah membimbing Dinamo Zagreb dan Iran.

Sebagai langkah interim, jurulatih skuad Bawah 19 Tahun China, Dejan Djurdjevic dari Serbia dilantik untuk mengambil alih tugas sebagai pengendali sementara pasukan senior.

Pasukan kebangsaan China kini berada di kedudukan ke-94 dunia mengikut ranking FIFA, satu kedudukan yang mencerminkan kemerosotan berterusan sejak beberapa tahun lalu.

Skuad itu turut menjadi bahan kecaman peminat tempatan kerana sering mengecewakan dan terpalit pelbagai skandal rasuah yang memburukkan imej bola sepak negara.

Presiden China, Xi Jinping pernah menyatakan hasrat mahu melihat negaranya menjuarai Piala Dunia suatu hari nanti, namun kegagalan terbaharu ini menandakan mereka masih jauh dari mencapai impian berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top