Miss Universe Malaysia Organization (MUMO) memperkenalkan kostum nasional yang dinanti-nantikan, ‘The Majestic of Anjung Serimpak’, yang akan digayakan oleh Chloe Lim, Miss Universe Malaysia 2025, di pentas Miss Universe ke-74 di Thailand bulan depan.
Kostum ‘The Majestic of Anjung Serimpak’ mengangkat keindahan budaya komuniti Bajau Sama di Sabah yang terkenal dengan hubungan rapat mereka dengan laut dan kemahiran berlayar.
Reka bentuknya menampilkan Serimpak tembaga berbentuk kapal layar, dipadankan dengan kain Selisir hasil sulaman tangan artisan Bajau Sama. Lengkap dengan tali pinggang Siupu dan aksesori Duang Sama, kostum ini menyerlahkan sentuhan tradisional yang mewah dan elegan.
Menariknya, ini merupakan kali pertama identiti etnik Bajau dijadikan asas kepada kostum nasional Malaysia di pentas Miss Universe.
“Saya amat berbesar hati dapat memakai kostum ini yang benar-benar mencerminkan akar budaya rakyat Malaysia serta daya kreativiti dan semangat kemajmukan negara. Ia mengingatkan kita agar sentiasa menghargai keaslian diri dan kepelbagaian yang membentuk identiti kita sebagai rakyat Malaysia.
“Saya bertekad untuk mewakili negara dengan penuh keanggunan dan beradab sambil membuktikan bahawa kecantikan, belas ihsan dan intelek mampu berjalan seiring. Saya akan berikan yang terbaik untuk membanggakan Malaysia di pentas antarabangsa,” kata Chloe.
Turut hadir menyaksikan acara pelancaran yang penuh gaya itu diadakan di Holiday Inn Bangsar, Kuala Lumpur, menerusi sidang media ‘A Fellowship for Miss Universe Malaysia 2025’ semalam ialah Datin Seri Livonia Ricky Guing, Pengerusi MUMO; Charissa Chong, Pengarah Nasional MUMO dan Mell Sulaiman, pereka kostum yang menjuarai pertandingan Malaysia Top National Costume Designer Competition 2025.

Untuk memastikan tampil cemerlang di Thailand nanti, Chloe menjalani latihan intensif bersama pasukan MUMO yang merangkumi catwalk dan persembahan pentas, latihan kecergasan dan pemakanan, serta bengkel media dan temu ramah. Selain persiapan fizikal, Chloe turut menekankan kekuatan mental dan emosi, supaya lebih bersedia menghadapi cabaran di pentas dunia.
Menariknya, Chloe turut berkolaborasi dengan beberapa pereka fesyen tempatan terkenal seperti Brian Khoo (sut kuasa merah ikoniknya), Teh Firdaus (rekaan gaun malam yang elegan) dan MO Sarawak (yang mengetengahkan warisan Malaysia Timur).
Menurut Charissa Chong, Pengarah Nasional MUMO, segmen kostum nasional setiap tahun adalah peluang terbaik untuk memperkenalkan keindahan budaya Malaysia kepada dunia.
“Kami berbesar hati untuk menyampaikan kisah itu melalui Chloe yang bekerja keras dalam membuat persiapan ke pertandingan antarabangsa. Usaha, semangat dan ketekunannya pasti akan membawanya jauh, menginspirasi ramai serta menonjolkan keanggunan dan bakat rakyat Malaysia,” katanya.
Selain persiapan pertandingan, Chloe juga aktif dengan projek advokasinya yang dinamakan ‘Beyond The Crown’, fokus kepada peluang pendidikan dan kerjaya untuk belia kurang berkemampuan.
Antara inisiatifnya ialah menyokong Lighthouse Children Welfare Home, sebuah pusat kebajikan yang menyediakan pendidikan dan penjagaan untuk kanak-kanak terbiar.
Melalui program itu, Chloe giat mengumpul dana bagi memperluas inisiatif pendidikan, termasuk kelas bimbingan dan aktiviti luar bilik darjah. Dia juga meneroka peluang kolaborasi yang menghubungkan pendidikan dan keusahawanan, agar lebih ramai belia Malaysia dapat mencapai potensi diri mereka.
Chloe turut merancang untuk menyertai Kechara Soup Kitchen bagi program bersama komuniti Orang Asli serta menyokong inisiatif Yayasan Chow Kit. Selepas tamat pertandingan Miss Universe nanti, dia juga mahu lebih aktif dalam kerja kebajikan haiwan, satu bidang yang dekat di hatinya.
Mari sama-sama memberi sokongan kepada Chloe dengan memuat turun aplikasi MU Zetrix dan undi Malaysia dalam kategori ‘Beyond The Crown’ serta ‘The Most Beautiful People’.
Beyond the Crown adalah inisiatif Zetrix dan Miss Universe menggunakan platform berasaskan blok rantai untuk undian peminat global dan interaksi. Peserta akan berkongsi kisah peribadi dan memperjuangkan isu yang mereka sokong di platform terbabit.
Matlamatnya bertujuan melangkaui naratif tipikal pertandingan ratu cantik dan tekankan tujuan, pemerkasaan, serta impak ingin dibawa oleh setiap peserta. Melalui inisiatif ini, Zetrix menyediakan aplikasi undian khusus untuk pertandingan Miss Universe.
Teknologi ini membolehkan peminat seluruh dunia mengambil bahagian secara aktif dan mengundi peserta pilihan mereka. Dengan cara ini, penyertaan peminat menjadi lebih telus dan meluas, memberi mereka suara dalam menentukan perjalanan pertandingan.
Platform ini juga memberi ruang kepada peserta berkongsi kisah peribadi mereka dan juga mengenai perjuangan sosial yang dekat di hati mereka. Ini menambah satu lapisan yang lebih mendalam kepada pertandingan, melangkaui aspek fizikal semata-mata.
Peminat dapat mengenali peserta lebih dekat dan memahami misi yang ingin dibawa oleh setiap daripada mereka. Selain itu, Beyond the Crown mewujudkan cara baharu untuk peminat berhubung dan menyokong peserta kegemaran mereka.
Interaksi ini tidak lagi terhad sewaktu pertandingan sahaja, sebaliknya ia membina sebuah komuniti lebih erat. Pembabitan lebih mendalam ini menjadikan pengalaman pertandingan lebih bermakna untuk semua pihak yang terbabit.
Inisiatif ini menekankan perjalanan mereka lebih besar daripada sekadar mahkota kemenangan. Ia memberi tumpuan kepada tujuan, pemerkasaan, dan impak positif yang ingin ditinggalkan peserta.
Peserta yang menerima undian tertinggi bakal menerima habuan bernilai RM211,332 (USD50,000) bagi membiayai advokasi dan impak kerja sosialnya.
Jom ramai-ramai bantu Chloe cipta impak positif dan harumkan nama Malaysia di pentas dunia!






