Choco Albab sasar RM80 juta

Choco Albab sasar RM80 juta



kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Saudagaar Asia Sdn Bhd, pengeluar produk berasaskan coklat jenama Choco Albab optimis mengembangkan operasinya ke peringkat antarabangsa, terutama di pasaran Asia Tenggara.

Pengasas Choco Albab, Said Saiful Fazli Said Aluwi berkata, setakat ini syarikat menembusi pasaran Singapura dan Brunei dan sehubungan itu, pihaknya merancang meluaskan pasaran ke Thailand, Indonesia dan Filipina dalam tempoh dua tahun.

Katanya, bagi memastikan sasaran itu dicapai, syarikat sudah merancang beberapa inisiatif baharu yang dapat mengukuhkan lagi jenama Choco Albab.

“Antara langkah utama adalah membuka kemudahan baharu yang mempunyai kapasiti pengeluaran berskala besar dan dilengkapi teknologi terkini pada tahun depan.

“Ia dijangka akan dapat menampung permintaan produk Choco Albab yang kini mempunyai sekitar 21 unit simpanan stok (SKU) dan dengan kemudahan baharu ini dijangka mampu menyokong langkah syarikat dalam memasarkan produk Choco Albab ke pasaran luar negara,” katanya.

Menurutnya, Choco Albab juga sudah memperoleh pensijilan halal pada tahun lalu dan ini memudahkan lagi syarikat mengorak langkah meluaskan pasaran ke peringkat global.

Beliau berkata, tahun ini, syarikat menyasarkan pertumbuhan jualan sebanyak RM80 juta, seiring penambahan produk dan ejen sah Choco Albab.

“Kami merekodkan peningkatan dalam jualan tahunan yang mana tahun ini sudah mencecah RM50 juta seperti disasarkan berbanding RM22 juta pada tahun lalu.

“Selain disokong dengan pengenalan produk baharu Choco Albab Spread, kami yakin jumlah itu dapat dicapai dengan jangkaan lebih 200,000 ejen di seluruh Malaysia yang akan dilantik tahun depan berikutan kami menawarkan pendaftaran percuma untuk yang ingin menjadi ejen Choco Albab,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top