July 15, 2024

Cikgu Joo guna pendekatan kasih sayang dekati pengundi kelabu

Cikgu Joo guna pendekatan kasih sayang dekati pengundi kelabu


NIBONG TEBAL – Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan menggunakan pendekatan kasih sayang untuk mendekati pengundi kelabu atau atas pagar.

Beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Joo berkata, pihaknya kini mempergiatkan usaha tersebut dan ia akan dilaksanakan bermula hujung minggu ini dengan kerjasama jentera.

Jelasnya, ketika ini beliau telah memulakan gerak kerja menyantuni pengundi putih di tempat umum serta dari rumah ke rumah.

“Alhamdulillah, sepanjang tempoh berkempen empat hari, saya sudah pun menyantuni ramai pengundi di tempat-tempat umum dan dua hari ini, saya juga telah mula masuk mendekati mereka (pengundi) dari rumah ke rumah bersama dengan jentera pasukan.

“Untuk peringkat awal ini kita cuba mengenal pasti dan menyantuni pengundi-pengundi putih dulu bagi memastikan mereka ini terus tetap bersama dengan kita.

“Kemudian jentera akan memberi maklumat mana yang perlu saya susuli dan seperti yang saya sebutkan tadi kumpulan kelabu, kita lepaskan mereka dab cuba menyeru dengan kasih sayang,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Ceramah Perpaduan N.20 Sungkai Bakap di Taman Jawi Indah di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut Joohari berkata, pihaknya mengambil pelbagai pendekatan untuk mendekati pengundi termasuk menggunakan platform media sosial.

“Pendekatan (merayu undi) ini ada pelbagai, senang kata ia campur.. yang mana (pengundi) tidak boleh ikut ceramah, kita kunjung ke rumah manakala yang kita tak sempat ke rumah, kita sebar melalui ruangan lain dan juga media sosial.

“Kalau nak harapkan ceramah saja tak boleh sebab kadang orang sama datang sebab seronok dengar kempen sama juga dengan kita mengunjungi masjid dan surau.

“Memang betul dan bagus tapi kalau yang datang ke masjid dan surau itu hanya 10 peratus daripada penduduk atau pengundi ? Jadi pendekatan campuran (konvensional,media sosial) semua adalah terbaik,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK berkenaan pada 6 Julai. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top