Pendekatan Civil-Military Cooperation (CIMIC) terus memperkukuh peranan MALBATT dalam misi pengaman di Lubnan menerusi usaha mendekati masyarakat, membantu komuniti serta membina kepercayaan di kawasan operasi.
Pengarah Operasi Global, Markas Angkatan Bersama (MK AB), Kol Tengku Azriman Tengku Abdullah TUDM berkata, CIMIC menjadi komponen penting dalam penugasan MALBATT terutama selepas konflik menyebabkan kemusnahan infrastruktur serta menjejaskan kehidupan penduduk di selatan Lubnan.
“CIMIC ini satu perkara yang sangat penting. Kadang-kadang orang tengok anggota tentera ini lebih kepada apa yang berdasarkan nama tentera itu, tetapi sebenarnya jauh lebih mendalam.
“Kita terlibat secara langsung, kita berada di lapangan dan terpaksa menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat,” katanya dalam OMM Podcast edisi khas ‘Malbatt Mendekati Komuniti, Membina Kepercayaan’.
Kol Tengku Azriman Tengku Abdullah TUDM dalam OMM Podcast edisi khas ‘MALBATT Mendekati Komuniti, Membina Kepercayaan’.
Kol Tengku Azriman Tengku Abdullah TUDM dalam OMM Podcast edisi khas ‘MALBATT Mendekati Komuniti, Membina Kepercayaan’.
Menurut beliau, Malaysia mempunyai pengalaman luas dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antaranya di Congo, Bosnia dan Sahara Barat.
Bagaimanapun, Kol Tengku Azriman TUDM berkata, penugasan di Lubnan mempunyai keunikan tersendiri apabila penglibatan Malaysia yang bermula pada Januari 2007 dijangka berakhir pada Disember 2026, sekali gus melengkapkan dua dekad penyertaan negara dalam misi pengaman berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Komander MALBATT 850-12, Lt Kol Firdaus Shah Budin berkata, CIMIC merupakan antara tugasan yang dilaksanakan MALBATT sepanjang penugasan di Lubnan, selain rondaan dan tugas keselamatan lain di bawah mandat Resolusi 1701 PBB.
“CIMIC adalah salah satu daripada tugas MALBATT. Selain itu, kita melaksanakan rondaan, menjaga water point, membuat escort dan banyak lagi tugas utama yang tertakluk di bawah Resolusi 1701.
“Sebagai Timbalan Komander, saya menerima arahan daripada Komander Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dan pada waktu itu, arahan yang diberikan adalah supaya MALBATT memberi penekanan kepada CIMIC,” ujarnya.
Lt Kol Firdaus Shah Budin dalam OMM Podcast edisi khas ‘MALBATT Mendekati Komuniti, Membina Kepercayaan’.
Lt Kol Firdaus Shah Budin dalam OMM Podcast edisi khas ‘MALBATT Mendekati Komuniti, Membina Kepercayaan’.
Firdaus berkata, MALBATT 850-12 tiba di Lubnan pada 7 November 2024 ketika keadaan masih tegang sebelum gencatan senjata dicapai pada Februari 2025.
Katanya, selepas gencatan senjata, anggota MALBATT mula bergerak ke kawasan penduduk untuk melaksanakan aktiviti CIMIC termasuk menyediakan bantuan perubatan dan membantu usaha membina semula kemudahan yang terjejas akibat konflik.
“Waktu itu memang daripada Force Commander sendiri sudah mengarahkan MALBATT untuk mengutamakan CIMIC kerana kita nak bantu penduduk, terutama di kawasan bandar yang menjadi tanggungjawab MALBATT.
“Selepas peperangan, banyak infrastruktur yang musnah. Jadi kita nak bantu, nak beri semangat dan juga membina imej United Nations (UN) dan UNIFIL itu sendiri,” katanya.
Salah seorang daripada empat anggota MALBATT yang baru tiba di Selatan Lubnan mengalami cedera akibat terkena serpihan letupan dalam serangan dron berhampiran Sidon, pada 7 November 2024.
Salah seorang daripada empat anggota MALBATT yang baru tiba di Selatan Lubnan mengalami cedera akibat terkena serpihan letupan dalam serangan dron berhampiran Sidon, pada 7 November 2024.
Latihan berperingkat satukan anggota ATM bagi misi PBB di Lubnan
Dalam pada itu, Kol Tengku Azriman TUDM berkata, persediaan anggota MALBATT dilakukan secara berperingkat dengan membabitkan ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Jelasnya, setiap perkhidmatan menjalani latihan sendiri sebelum digabungkan melalui proses Force Integration Training selama tiga bulan, termasuk modul khusus UN yang dipantau pertubuhan antarabangsa itu.
“Setiap kali kita nak bentuk MALBATT, kita akan maklumkan kepada perkhidmatan darat, laut dan udara mengenai keperluan anggota tentera yang diperlukan.
“Setiap perkhidmatan akan menjalankan latihan sendiri selama sebulan. Selepas itu kita gabungkan mereka semua untuk buang warna masing-masing dan jadikan mereka satu ketumbukan, satu kepala,” jelasnya.
Beliau berkata, anggota tentera turut melalui kursus serta ujian yang ditetapkan UN sebelum disahkan layak untuk menyertai misi dengan aspek kesihatan dan perubatan menjadi antara prasyarat utama.
Sementara itu, Firdaus berkata, latihan turut merangkumi pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku di kawasan operasi, termasuk serangan, kecemasan serta keperluan mengeluarkan anggota tentera dari sesuatu kawasan.
“UNIFIL sudah menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP). Apa tindakan yang perlu kita buat, bagaimana penyampaian maklumat dan kemana maklumat itu perlu disampaikan, semua sudah ada aliran kerja yang terperinci.
“Setiap enam bulan kita akan semak semula SOP mengikut situasi semasa. Kalau ada perkara yang belum ada, kita tambah,” katanya.
CIMIC tingkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan MALBATT
Menurut Firdaus, pendekatan CIMIC amat penting untuk mengubah persepsi sebahagian masyarakat tempatan yang menganggap kehadiran UN sebagai ancaman.
Ujarnya, MALBATT melaksanakan pelbagai program termasuk menyalurkan bantuan kepada rumah anak yatim, khidmat perubatan, rawatan pergigian serta aktiviti bersama komuniti.
“CIMIC ini sebenarnya untuk memberitahu apa peranan UN, siapa MALBATT dan apa yang kita nak buat. Yang paling terkesan adalah penerimaan mereka.
“Kita nak memenangi hati mereka dan beritahu bahawa UN datang bukan untuk menyusahkan mereka. Kita datang untuk membantu,” ujarnya.
Anggota perubatan MALBATT memberikan khidmat rawatan pergigian kepada penduduk tempatan di Lubnan.
Anggota perubatan MALBATT memberikan khidmat rawatan pergigian kepada penduduk tempatan di Lubnan.
Beliau berkata, terdapat penduduk yang menganggap UN sebagai pihak yang menyalurkan maklumat kepada Israel sekali gus menyebabkan usaha mendekati komuniti amat penting.
“Dalam fikiran mereka, UN ini ibarat ejen atau tali barut kerana mereka anggap UN datang untuk melaporkan kedudukan mereka.
“Kita neutral. Kita tidak menyebelahi mana-mana pihak. Kita datang untuk membantu,” katanya.
Selain rawatan perubatan, aspek kesihatan mental penduduk turut diberi perhatian berikutan kesan konflik.
“Bukan sahaja perubatan, malah ada orang yang mempunyai masalah psikologi kerana mereka sudah terganggu akibat peperangan. Masalah untuk tidur dan sebagainya, jadi perkhidmatan seperti kaunseling juga kita buat.
“Kita juga bekerjasama dengan negara-negara lain. Kita panggil Itali, Ghana dan mereka membawa doktor masing-masing. Kita menyediakan satu hospital dan masing-masing ada bahagian sendiri,” ujarnya.
Anggota perubatan MALBATT menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap seorang bayi dalam kalangan penduduk tempatan di Lubnan.
Anggota perubatan MALBATT menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap seorang bayi dalam kalangan penduduk tempatan di Lubnan.
Firdaus berkata, sebagai rekod, sebanyak 1,057 aktiviti CIMIC telah dilaksanakan oleh tim MALBATT 850-12 sepanjang tempoh penugasan mereka khususnya selepas gencatan senjata, yang mana keadaan telah membolehkan anggota tentera kembali bergerak ke kawasan penduduk.
Kongsinya lagi, selepas gencatan senjata, penduduk yang sebelum itu berpindah telah mula kembali ke kawasan kediaman masing-masing dan mereka memerlukan bantuan untuk membina semula kehidupan serta kemudahan asas.
“Selepas gencatan senjata, barulah CIMIC boleh keluar. Untuk perubatan, untuk membantu membina semula rumah, untuk memberikan rawatan perubatan, semuanya banyak dilakukan.
“Sebab itu saya rasa MALBATT 850-12 mempunyai aktiviti CIMIC yang sangat tinggi,” kongsi Firdaus.
Komander MALBATT 850-12, Kol Johan Effendi Mohd Shalleh bersama pasukannya di Lubnan telah mengagihkan sumbangan daripada Global Peace Mission (GPM) Malaysia kepada masyarakat setempat.
Komander MALBATT 850-12, Kol Johan Effendi Mohd Shalleh bersama pasukannya di Lubnan telah mengagihkan sumbangan daripada Global Peace Mission (GPM) Malaysia kepada masyarakat setempat.
MALBATT jadi ‘duta kecil’ Malaysia
Bagi Kol Tengku Azriman TUDM, penerimaan masyarakat Lubnan terhadap anggota ATM juga membantu melancarkan pelaksanaan program CIMIC.
Katanya, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat setempat amat menghargai kehadiran MALBATT sehingga ada yang menyatakan kesedihan berikutan bakal berakhirnya mandat UNIFIL.
“Rata-rata memang semua rasa sedih apabila UNIFIL ini akan ditamatkan. Daripada Lebanese Armed Forces (LAF) sendiri, mereka kata Malaysia sentiasa dialu-alukan.
“Mereka kata, ‘You are always welcome. Malaysia is always in our heart.’ Mereka melihat MALBATT bukan sekadar MALBATT, tetapi sebahagian daripada mereka,” katanya.
Firdaus pula berkata, selain membantu masyarakat, anggota MALBATT turut berperanan sebagai ‘duta kecil’ Malaysia dengan memperkenalkan makanan, budaya dan kesenian negara.
Beliau berkata, antara pendekatan digunakan ialah memperkenalkan nasi lemak, roti canai dan lemang, selain persembahan silat dan tarian tradisional.
“Kita duduk di sana sebagai macam duta. Kita macam duta kecil Malaysia, nak mempromosikan makanan dan budaya kita.
“Bukan sekadar makanan, tetapi tradisi, jenis-jenis tarian dan kebudayaan kita. Jadi mereka menjadi duta kecil selain daripada menjadi seorang anggota tentera,” katanya.
Mengakhiri perkongsian, Kol Tengku Azriman TUDM menegaskan program CIMIC dan koordinasi yang dilaksanakan amat penting dalam menyokong penugasan MALBATT di Lubnan.
“Dengan adanya program CIMIC dan koordinasi yang kita buat, ia adalah sesuatu yang sangat bagus untuk kita melestarikan penugasan kita di sana.
“Memang CIMIC ini adalah sesuatu yang sangat-sangat penting,” tambah Kol Tengku Azriman TUDM.
Firdaus pula berkata, kejayaan CIMIC bergantung kepada kerjasama tentera, masyarakat tempatan dan agensi berkaitan kerana usaha memastikan keselamatan serta pemulihan kawasan konflik tidak boleh dipikul satu pihak sahaja.
