Cinta warga AS, India jadi bualan

Cinta warga AS, India jadi bualan


New Delhi: Ketika Presiden Donald Trump memperkenalkan polisi imigresen yang lebih ketat di Amerika Syarikat (AS), seorang warganya tekad mengharungi segala ujian untuk membawa cinta hatinya ke negara Uncle Sam itu.

Jaclyn Forero hangat diperkata di media sosial apabila berkongsi kisah cintanya dengan pemuda dari pedalaman India, Andhra Pradesh dan merancang untuk melangsungkan perkahwinan.

Jurugambar itu berkata, dia mengenali buah hatinya, Chandan Singh Rajaputra menerusi Instagram dan tertarik dengan kesederhanaan serta sifat mesra pemuda itu.

Menerusi perkongsian video singkat, wanita itu berkata hubungan mereka berkembang dalam tempoh 14 bulan selepas dia memulakan perkenalan dan mereka saling berhubung secara maya.

Dalam hantaran Instagram yang dipetik NDTV, Forero menulis, mereka sudah bersedia untuk fasa hubungan berikutnya selepas 14 bulan bersama termasuk lapan bulan ‘dating’ secara dalam talian.

Dia juga berkongsi kegembiraan apabila hubungan itu mendapat restu ibunya dan mereka berdua terbang ke India bagi perbincangan fasa berikutnya.

Forero turut mengakui menerima reaksi pelbagai daripada orang ramai mengenai hubungan itu.

“Pelbagai reaksi, daripada yang menghakimi kepada menyokong, kurang ajar kepada yang sangat positif dan yang canggung… semua yang berkaitan.

“Ia keadaan yang sukar buat kami, tetapi Tuhan membuka pintu dengan cara yang luar biasa dan mempermudahkan kami dalam setiap langkah kerana Dia juga yang menyatukan kami dan melihat semuanya,” kongsinya.

Pasangan itu kini dalam proses memohon visa buat Chandan bagi membolehkan mereka memulakan kehidupan bersama di AS.

Selain Instagram, pasangan itu juga berkongsi kisah mereka di saluran YouTube yang mendapat perhatian warganet dengan ramai yang memberi sokongan dan semangat selain ada berkongsi pengalaman sebagai ‘pasangan antarabangsa’.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top