Cipta baharu, jangan terlalu bergantung kepada lagu lama

Cipta baharu, jangan terlalu bergantung kepada lagu lama

Cipta baharu, jangan terlalu bergantung kepada lagu lama


GITARIS tersohor tanah air, Abdul Zamin Abdul Kadir atau Jo Branko berpandangan penyanyi lama tidak seharusnya terlalu selesa dengan deretan karya sedia ada walaupun lagu-lagu tersebut masih kerap diputarkan di corong radio, dinyanyikan di pusat karaoke dan terus bergema dalam konsert.

Kata Jo yang juga bekas gitaris kumpulan Wings, sikap berkenaan hanya akan mendatangkan kesan buruk terhadap kelangsungan karier seseorang penyanyi atau kumpulan dan mengakibatkan mereka hilang ditelan zaman.

“Bila kita sudah terlalu selesa, malas untuk hasilkan album dan merasakan lagu lama kita memadai untuk buat kita relevan, ketika itulah kita perlu sedar yang karier muzik kita diambang bahaya.

“Sikap seperti itu bukan sahaja akan memberi kesan buruk kepada muzik kita, malah bakal meranapkan industri seni kita secara keseluruhannya,” katanya kepada Utusan Malaysia

Kata Jo yang juga pengasas kumpulan Barbarik, untuk memastikan industri muzik terus berkembang, penggiat seni perlu sentiasa bergerak ke hadapan dengan menghasilkan karya baharu biarpun sudah memiliki ratusan lagu popular yang bersifat malar segar.

“Ada penyanyi mampu bertahan dan sentiasa maju ke depan. Perkara itu disebabkan mereka tidak pernah rasa selesa dengan lagu yang mereka ada dan tidak pernah berhenti menghasilkan album dan lagu baharu.

“Sikap seperti ini yang seharusnya kita contohi. Sebagai penggiat seni muzik, kita bukan sahaja mahu wujud dalam industri, tetapi turut memeriahkannya dengan karya-karya baharu yang kita hasilkan” ujarnya.

Jo dalam masa yang sama mengakui dirinya juga memiliki katalog lagu yang banyak dan berpeluang untuk sekadar menyanyikan lagu-lagu popular setiap kali membuat persembahan. Namun, beliau berpendapat pendekatan tersebut tidak sihat untuk industri muzik.

“Sekurang-kurangnya sebagai penyanyi lama, kita kena tunjukkan yang kita masih serius bekerja dalam industri muzik tanah air. 

“Kita kena teruskan berkarya dan hasilkan lagu baharu. Pendengar beli atau tidak karya tersebut, itu belakang cerita. Percayalah, hasilnya akan datang kemudian,” katanya.

Mengulas dakwaan kononnya muzik rock di Malaysia sudah melepas fasa kemuncaknya pada era 80-an, Jo sama sekali tidak bersetuju dengan tanggapan tersebut.

“Muzik rock di Malaysia tidak pernah mati. Yang berlaku adalah ramai penyanyi atau pemuziknya yang sudah tidak lagi menghasilkan album atau mencipta karya-karya baharu kerana mereka selesa dengan lagu-lagu sedia ada.

“Saya bukan pemuzik yang mahu ambil kesempatan atas nama dan populariti lagu-lagu terdahulu. Saya tak akan buat konsert, jual tiket harga mahal, tetapi sekadar persembahkan lagu lama dan berharap kepada populariti karya sedia ada.

“Bahaya kalau penyanyi atau kumpulan tak buat album dan tak hasilkan karya baharu. Lama-kelamaan mereka akan hilang dari radar muzik arus perdana.

“Hasilkanlah, waima single sekalipun tak mengapa. Asalkan produktif,” katanya.

 





Source link

OR

Scroll to Top