July 13, 2024

Cipta banyak rekod dunia

Cipta banyak rekod dunia



norhayati_nordin@hmetro.com.my

BINTANG K-pop terkenal yang juga anggota BLACKPINK, Lisa atau Lalisa Manobal muncul dengan single solo terbaharunya berjudul Rockstar yang dilancarkan, baru-baru ini.

Anggota BLACKPINK berasal dari Thailand itu turut dikenali sebagai penari dan ikon gaya ternama dunia menerusi duta jenama fesyen mewah.

Menerusi single Rockstar berkenaan, ia memperlihatkan kemampuan Lisa yang mampu menggabungkan genre muzik rap yang lancar dan dilengkapkan dengan vokal pop bertenaga, terutama ketika dia menyanyikan lirik tertentu lagu itu.

Apa yang menariknya, single baru Lisa ini diterbitkan dua komposer terkenal antarabangsa iaitu Ryan Tedder dan Sam Homaee.

Boleh dianggap tidak melupakan asal-usulnya, Lisa yang berkongsi video rasmi Rockstar arahan Henry Schofield dan koreografi oleh Sean Bankhead itu, sudah dirakamkan di ibu kota kelahirannya, Bangkok, Thailand.

Video Rockstar ini disifatkan sebagai memberi peluang kepada Lisa untuk menyelami kota Bangkok, tempat dia berasal sambil memberi penghormatan kepada budaya Thailand serta kehidupan jalanan di negara itu yang asli ketika tampil sebagai seorang bintang rock sejati.

Terdahulu, Lisa pertama kali memperkenalkan sedutan lagu Rockstar ini pada awal Jun lalu di media sosial melalui hantaran dibuat di akaun TikTok miliknya yang berjaya memecahkan Guiness World Of Records dengan memperoleh satu juta pengikut dalam tempoh dua jam dan 18 minit.

Selepas itu, Lisa mengumumkan kemunculan single Rockstar itu dan disambut meriah serta penuh sokongan kegembiraan daripada peminat, termasuk media antarabangsa seperti Rolling Stone, Billboard dan lain-lain.

Rockstar juga single solo pertama Lisa yang dikeluarkan di bawah kerjasama terkini antara syarikat pengurusan ditubuhkannya pada awal tahun ini iaitu LLOUD Co bersama RCA Records.

Bagaimanapun, selain kejayaan berkumpulan dengan BLACKPINK, Lisa sudah memecahkan beberapa rekod dunia sebagai seorang bintang solo dengan lagunya seperti Lalisa dan Money yang memasuki carta top 10 Billboard Global 200.

Tidak hanya itu, lagu Money turut memegang rekod sebagai lagu yang paling lama bertahan di carta lagu Billboard Hot 100 sebagai seorang artis solo wanita K-pop di Amerika Syarikat dan di carta lagu Singles di United Kingdom.

Pada 2023 pula, Lisa berjaya memecahkan tiga rekod dunia dengan pengikut Instagram terbanyak untuk seorang artis K-pop dan ketika ini pengikutnya mencecah kira-kira 103 juta di platform itu.

Begitu juga kecemerlangan terhebat Lisa dalam karier seninya apabila dia pernah dinobatkan pemenang solo K-pop pertama di MTV Video Music Awards dan MTV European Music Awards.

Dalam bidang lakonan yang disertainya, Lisa membintangi musim terbaharu siri popular HBO Original berjudul The White Lotus, musim ke-3. Wataknya itu difahamkan bakal menjadi pengenalan gah di layar TV dan kini penggambaran giat dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top