amir_hamid@mediaprima.com.my
“Hari ini, tekanan di tempat kerja umpama kopi pagi, kebiasaannya mesti ada,” itu kata Pakar Psikologi Industri, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Balan Rathakrishnan ketika diminta mengulas isu tekanan di tempat kerja.
Menurut Dr Balan, ramai pekerja, sudah pun berasa letih sebaik bangun tidur.
Tiba di pejabat, sebelum tempat duduk panas, pelbagai tugasan datang bertali-arus, mesyuarat bersusun, emel tidak berhenti, malah mesej aplikasi WhatsApp berkaitan kerja turut tidak habis malah sehingga ke tengah malam.
“Tekanan bukan datang daripada kerja fizikal sahaja, malah beban emosi, budaya kerja toksik selain kurang sokongan. Padahal, hakikatnya, tempat kerja bukan lagi sekadar lokasi cari makan, ia turut membentuk kesihatan mental seseorang,” katanya.
Ruang Pemulihan Mikro: Terapi sekejap tetapi berkesan:
Bagi mengatasi isu ini, Dr Balan memperkenalkan konsep Ruang Pemulihan Mikro (Micro-Recovery Zone). Ia adalah ruang khas di pejabat untuk pekerja ‘reset’ minda dalam tempoh singkat.
Ruang ini direka lebih daripada sekadar bilik rehat biasa. Ia dilengkapi pencahayaan lembut, muzik yang menenangkan, bunyi alam semula jadi, aromaterapi, bantal terapi serta kerusi ergonomik yang selesa.
Malah, ada juga kad afirmasi harian, panduan teknik pernafasan dan ruang kecil untuk menulis jurnal ringkas.
“Cukup lima hingga 15 minit tanpa gangguan, pekerja boleh mengembalikan tenaga dan mencegah kelelahan.
“Ia juga menjadi ruang selamat tanpa stigma untuk mereka melepaskan tekanan secara sah dan berstruktur,” katanya.
Bukan alasan untuk ‘curi tulang’:
Mengulas kebimbangan majikan bahawa ruang itu boleh disalah guna, Dr Balan menegaskan, masalah bukan pada ruang tetapi bagaimana ia diurus.
Kajian menunjukkan, ruang pemulihan yang dilaksanakan dengan garis panduan jelas tidak menjejaskan produktiviti, sebaliknya meningkatkan prestasi kerja.
“Antara langkah kawalan ialah sistem tempahan digital, pemantauan ringan Jabatan Sumber Manusia, dan tentunya ada had masa tertentu bagi setiap pekerja.
“Pekerja yang diberi kepercayaan dan sokongan lebih cenderung menggunakan kemudahan ini dengan sewajarnya. Ia pelaburan jangka panjang yang mampu menurunkan kadar cuti sakit, selain meningkatkan motivasi,” katanya.
Pendekatan moden lain lawan tekanan:
Selain ruang pemulihan mikro, terdapat beberapa pendekatan lain yang boleh dipraktikkan organisasi.
Teknologi biofeedback dan peranti boleh pakai (wearables), memantau denyutan jantung, corak pernafasan serta tahap aktiviti fizikal pekerja untuk kenal pasti bila tekanan memuncak, sekali gus membolehkan tindakan pencegahan awal diambil.
Dr Balan berkata, program ‘digital detox’, contohnya tidak membalas emel selepas jam 7 malam, boleh mengurangkan keterikatan kepada teknologi dan memberi ruang otak berehat sepenuhnya.
Selain itu, bagi setiap individu, kata beliau, ‘active break’ atau rehat aktif pula adalah aktiviti ringkas seperti regangan, berjalan lima minit setiap jam atau senaman pernafasan yang terbukti membantu menurunkan hormon tekanan dan meningkatkan fokus.|
Pelaburan untuk masa depan:
Dr Balan menegaskan, dunia kerja moden yang pantas memerlukan pendekatan baharu dan bersepadu dalam mengurus tekanan.
“Tempat kerja hari ini adalah ruang yang membentuk kesihatan jiwa seseorang. Usaha mengurus tekanan bukan lagi pilihan, tetapi pelaburan penting untuk masa depan pekerja dan organisasi secara keseluruhan,” katanya.
Beliau percaya, dengan kombinasi ruang pemulihan mikro, penggunaan teknologi pintar, digital detox dan rehat aktif, pejabat boleh menjadi lebih daripada sekadar tempat mencari rezeki.
Malah, Dr Balan berkata, kombinasi seumpamanya mampu menjadi ruang yang menyuburkan kesihatan mental dan melahirkan tenaga kerja lebih seimbang, fokus serta berdaya tahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd