Ciri-ciri orang yang terbaik

Ciri-ciri orang yang terbaik


– Advertisement –

KITA semua adalah sama. Tetapi ada yang membezakan kita. Apakah yang membezakan kita? Lihat pada apa yang dijelaskan oleh Nabi SAW dalam khutbah wada’ Baginda.

Hal ini jelas dalam hadis berikut, ketika Nabi SAW berkhutbah di Haji Wada’ pada 9 Zulhijjah, tahun ke-10 Hijrah. Ini merupakan di antara pesanan dan wasiat terakhir Rasulullah SAW kepada umatnya.

Beliau berkhutbah di Lembah Uranah, di Padang Arafah yang bermaksud, “Wahai manusia! Rabb kalian adalah Esa, dan ayah kalian satu, kalian semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan dari tanah. Tidak ada kelebihan orang Arab ke atas orang ‘Ajam (bukan Arab) dan bagi orang ‘Ajam ke atas orang Arab. Tidak ada kelebihan orang berkulit putih ke atas orang berkulit hitam, bagi orang berkulit hitam ke atas orang berkulit putih kecuali dengan ketakwaan.” (HR Tirmizi)

Kelebihan manusia bukan berasaskan warna kulit, bangsa, bahasa, jantina, agama, sekufu politik, status sosial atau pertimbangan lain tetapi yang melebihkannya berdasarkan takwa. Semua orang setaraf dari sudut asas maruah manusia dan asas kewajipan dan tanggungjawab, tanpa diskriminasi, kecuali yang membezakannya atas dasar ketakwaannya.

Manusia hanya diperintahkan untuk mengabdi kepada Allah SWT.

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Az Zariyat: 56)

Jadi, hendaklah mengikut sunnah Rasulullah SAW dan jangan sekali-kali terkeluar daripada landasan. Daripada ‘Irbadh bin Sariyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulafa’ al-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham dan jangan kamu mengikuti perkara-perkara (bid’ah) yang dibuat-buat, kerana sesungguhnya semua perkara bid’ah itu adalah sesat.” (Riwayat Abu Daud (4607), al-Tirmizi (2676), Ibn Majah (44), Ahmad (17144). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Riyadh al-Salihin (157))

Bagaimana hendak menjadi orang yang bertakwa iaitu orang yang baik? Sebelum itu tanyalah diri kita, adakah kita benar-benar seorang yang baik atau sekadar berpura-pura baik? Seharusnya tiada yang bermaksiat dan melakukan perkara-perkara dosa di tengah-tengah kehidupan umat Islam. Jangan menjadi orang-orang munafik, yang luarnya berpura-pura Islam, namun mereka menyimpan rasa benci sesama saudara Muslim dan bersekongkol dengan golongan yang anti-Islam dengan memusuhi umat Islam. Mereka mengambil golongan kafir (anti-Islam) menjadi teman setia dengan meninggalkan mereka yang beriman.

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab: “Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?” Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Al-Baqarah: 13)

Mereka menganggap orang-orang yang beriman seperti para Sahabat Nabi SAW yang beriman dan taat kepada Nabi SAW, sebagai orang yang bodoh, ketinggalan zaman. Sedangkan sebenarnya mereka tidak sedar bahawa merekalah sebenarnya orang-orang sesat dan bodoh iaitu bodoh dan jahil dalam hal agama, tetapi mereka tidak mengetahuinya. Mereka tidak mahu belajar, jadi tidak dapat membezakan yang mana nafsu dan wahyu.

Kalau membicarakan akan penampilan orang-orang munafik, Allah SWT mengatakan, “Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelakuannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih). (Hakikatnya) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya. Maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah SWT membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmat-Nya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya – dari kebenaran)?” (Al-Munafiqun: 4)

Jadi, Allah SWT mengingatkan bahawa yang nampak hebat penampilannya itu bukan semuanya baik. Ada petah berkata-kata walhal apa yang mereka katakan itu tidak benar belaka tetapi ramai terpengaruh. Ini amat bahaya, maka kena berhati-hati dengan kata-kata manusia.

Hadis-hadis yang menerangkan ciri-ciri orang terbaik:
PERTAMA: Hadis dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (Hadis Riwayat ath-Thabrani, Al-Mu’jam al-Ausath, juz VII, hal. 58, dari Jabir bin Abdullah RA. Dishahihkan Muhammad Nashiruddin al-Albani dalam kitab: As-Silsilah Ash-Shahîhah)

Satu persoalan yang sewajarnya ditanyakan kepada diri semenjak kita hidup di dunia ini, adakah kita sudah menjadi manusia yang bermanfaat kepada orang sekeliling, ahli keluarga, jiran tetangga, masyarakat juga negara? Apakah yang sudah kita sumbangkan kepada mereka?

Kita berbuat manfaat untuk orang lain bukan mengharapkan pujian, sanjungan, anugerah, tetapi kerana Allah SWT. Allah SWT tahu apa yang kita lakukan. Dalam hadis lain, Nabi SAW menceritakan mengenai siapakah manusia yang paling dicintai oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Orang yang paling dicintai Allah SWT adalah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain dan amal paling dicintai Allah SWT adalah kebahagiaan yang engkau masukkan ke dalam diri seorang Muslim atau engkau menghilangkan suatu kesulitan atau engkau melunaskan hutangnya atau menghilangkan laparnya.” (HR: At-Thabrani 6026, Abu Syaikh 97. Dinilai Hasan oleh Al-Albani, Sahih Al-Jami’ 176)

Dalam hadis berkenaan menerangkan:

Pertama, golongan pertama dicintai Allah SWT adalah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain. Ada manfaat dunia dan manfaat akhirat. Contohnya, orang yang mempunyai ilmu dan kemahiran lalu mengajarkannya kepada orang lain. Seperti mengajar orang mengenai solat yang sempurna, akhirnya mereka mendirikan solat. Jadi manfaatnya, kalian telah menyelamatkan mereka dari Neraka Allah SWT.

Kedua, kegembiraan yang dimasukkan dalam hati orang Mukmin lain. Contohnya, seseorang menggembirakan hati orang Mukmin dalam kesusahan, kesedihan seperti membantu melunasi hutang-hutang orang yang berhutang, menziarahi rakan yang sakit serta memberi makan orang yang lapar dan menggalikan perigi bagi orang yang tiada air. Semuanya dilakukan kerana Allah SWT semata-mata. Ibadah itu dua; satu yang bermanfaat untuk kita dan yang lagi satu, manfaatnya untuk orang lain. Dan ingatlah bahawa Islam itu bukan setakat solat di masjid sahaja.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sungguh aku berjalan bersama saudaraku yang Muslim bagi sebuah keperluan lebih aku cintai daripada beriktikaf di masjid ini (Masjid Nabawi) selama sebulan.” (HR. Ath-Thabarani di dalam Al-Mu’jamul Kabir dan dishahihkan oleh Al-Albani di dalam Silsilat Al-hadits Ash-Shahihah, no. 906)

KEDUA: Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud, “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik dalam membayar hutang.” (Muttafaq’alaih)

Jadi jangan biasakan hidup berhutang. Orang yang berhutang itu jiwanya akan rasa dukacita, gelisah, kecewa di malam hari dan terasa hina di siang harinya. Justeru, membayar hutang adalah perkara utama dalam kehidupan di dunia dan jangan diambil mudah kerana ianya terkait dengan hubungan sesama manusia.

Rasulullah SAW telah bersabda dalam hadisnya yang bermaksud, “Ya Allah Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari perbuatan dosa dan kesusahan hutang.” (Riwayat al-Bukhari (832) dan Muslim (129))

Asalnya, hutang itu bukan satu dosa, tetapi akan menjadi dosa di ketika tidak membayarnya mengikut yang telah dijanjikan dengan pelbagai pembohongan dalam beralasan. Orang yang menunda-nunda membayar hutangnya adalah orang yang berakhlak buruk.

Jadi ukuran orang yang baik, sebelum masanya, dia sudah melunaskan hutangnya, malah dilebihkan lagi bayarannya (sebagai tanda terima kasihnya). Jadi orang yang paling baik adalah orang yang paling baik melunaskan hutangnya.

– Advertisement –

Di antara adab jika kita terkait dengan hutang:

1. Usaha nak selesaikan secepat mungkin. Jika ada duit lebih, utamakan bayar hutang.

2. Usahakan bayar sebelum tamat tempoh seperti yang telah dijanjikan.

3. Bayar hutang sebelum diminta oleh pemiutang.

4. Jika ada masalah tak boleh bayar hutang, terus memberitahu pemiutang dan mohon maaf. Jangan senyap dan buat tak reti.

5. Jika orang yang memberi hutang itu telah meninggal dunia, bayarlah kepada warisnya.

KETIGA: Dalam sebuah hadis disebutkan, orang yang memberi makanan kepada orang lain termasuk ke dalam golongan orang yang paling baik amalannya.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya yang bermaksud, “Sesungguhnya orang terbaik di antara kalian adalah orang yang memberi makan.”  (HR. Thabrani)

Sesiapa yang memasak makanan dan membahagi-bahagikan kepada jiran-jirannya, adalan amalan terbaik. Sekembali dari musafir, kita belikan sesuatu untuk jiran tetangga kita. Hadiah itu sebagai pengikat hati-hati antara kita dan agar antara kita tiada prasangka. Jadi jom tunjukkan keindahan Islam ini di samping terbaiknya amalan kita dalam amalan-amalan sunat yang lain.

Seorang laki-laki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Perbuatan apa yang terbaik di dalam Islam?” Rasulullah SAW menjawab, “Kamu memberi makan kepada orang lain.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Buktikan kepada masyarakat awam bahawa Islam itu datang sebagai rahmatan lil’alamin.

KEEMPAT: Kita dituntut untuk sentiasa mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya bagi sesiapa yang mampu walaupun tidak dinafikan setiap kita juga dituntut untuk mempelajari ilmu-ilmu kifayah lainnya. Ini kerana, Nabi SAW menyifatkan golongan yang mempelajari dan mengajarkan al-Quran ini sebagai sebaik-baik manusia.

Sebagaimana di dalam hadis daripada Uthman bin Affan RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari (5027))

Bagaimana mungkin setiap orang mempelajarinya tidak menjadi orang yang baik, sedangkan perkara dipelajari dan diajarkan itu Kalamullah. Jangan meremehkan al-Quran, yang datang kepada kita nanti memberikan syafaatnya dan al-Quran haruslah dihargai. Al-Quran menjadi petunjuk kepada manusia umumnya, kepada orang-orang bertakwa dan kepada orang-orang beriman, malah dapat menyuntik motivasi diri agar lebih maju dan berjaya dalam kehidupan.

“Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-Nya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izin-Nya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” (Al-Maaidah: 16)

Jadi jangan berkira memberi upah kepada guru-guru yang mengajar anak-anak kita al-Quran. Mereka telah mengajarkan anak-anak kita jalan ke Syurga, yang mengajar anak-anak kita bagaimana menjawab pertanyaan Munkar Nakir dan dengan membacanya akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Itu semua untuk kebaikan anak-anak kita di dunia dan akhirat.

Dari Uqbah bin Amir RA, ia menceritakan, “Rasulullah SAW datang menemui kami di Shuffah (satu tempat di masjid Nabi untuk orang-orang miskin Muhajirin tinggal), lalu Baginda bertanya: “Siapakah di antara kalian yang suka pergi setiap hari ke pasar Buth-han atau Aqiq (dua pasar di Madinah memperdagangkan unta) lalu ia pulang dengan membawa dua ekor unta betina dari jenis yang terbaik tanpa melakukan satu dosa atau memutuskan tali silaturahim?” Kami menjawab: “Ya Rasulullah, kami semua menyukai hal itu.” Rasulullah bersabda: “Mengapa salah seorang dari kalian tidak ke masjid lalu mempelajari atau membaca dua buah ayat Al-Qur’an (padahal yang demikian itu) lebih baik baginya dari pada dua ekor unta betina, tiga ayat lebih baik dari tiga ekor unta betina, dan begitu pula membaca empat ayat lebih baik baginya daripada empat ekor unta betina, dan seterusnya sejumlah ayat yang dibaca mendapat sejumlah yang sama dari unta-unta.”(HR. Muslim dan Abu Dawud)

Maksudnya, semakin banyak jumlah ayat yang dibaca akan semakin banyak pula pahala yang diperolehi. Jadi jangan berkira memberi upah kepada guru-guru yang menagajar anak-anak kita, sepatutnya beri lebih dari guru-guru lain.

Jadilah seorang doktor atau jurutera dan yang lain-lainnya, tetapi mempelajari al-Quran jangan ditinggalkan sebab ianya adalah cahaya di mana dengannya kalian dapat melihat dalam kegelapan dan dapat membezakan antara yang hak dan batil. Jadi kena baca dengan memahami maknanya kerana di sanalah adanya hidayah.

Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang mencintai dan melazimi dalam membaca al-Quran serta beramal dengan apa yang terdapat di dalamnya.

KELIMA: Abu Hurairah bercerita, bahwa suatu hari Rasulullah SAW berdiri di dekat beberapa orang yang duduk-duduk, lalu bertanya, “Mahukah kalian aku beritahu siapa orang terbaik dibandingkan orang terburuk di antara kalian?” Mereka pun terdiam (tidak menjawab). Baginda mengulangi pertanyaannya tiga kali, lalu ada seseorang yang menjawab, “Mahu, wahai Rasulullah. Beritahu kami siapa orang terbaik dibanding orang terburuk diantara kami.” Baginda lalu bersabda, “Yang terbaik di antara kalian adalah orang yang boleh diharapkan kebaikannya dan dirasa aman dari keburukannya. Sedangkan orang terburuk di antara kalian adalah orang yang tidak boleh diharapkan kebaikannya dan justeru tidak boleh dirasa aman dari keburukannya.” (Riwayat Tirmidzi. Hadis hasan-shahih)

Orang yang baik itu, di saat mereka bersama bergaul dalam masyarakat, masyarakat akan jadi baik dan tidak menimbulkan sebarang gangguan dan membawa masalah dalam masyarakat atau kejiranan, tetapi selalu membawa kebaikan dan mengingatkan orang sekelilingnya kepada kebaikan, begitu juga di tempat kerjanya, di masjid atau di mana-mana sahaja.

“Jadilah kamu orang yang baik, bila ada disukai, bila tiada dirindui, bila mati ditangisi. Janganlah kamu jadi orang yang jahat, bila ada dibenci, bila tiada disukai, bila mati disyukuri.” (Sayyidina Ali bin Abi Thalib RA)

Jika tak mampu buat kebaikan, jangan pula lakukan kejahatan. Suatu hari nanti, hidup kita hanya akan jadi kenangan. Oleh itu banyakkanlah berbuat kebaikan agar menjadi seorang yang memberi manfaat kepada orang lain.

KEENAM: Dari Abu Hurairah RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW ditanya, “Siapakah orang yang paling baik?” Baginda bersabda, “Yang terbaik di antara kalian di masa jahiliyah adalah yang terbaik dalam Islam jika dia itu faqih (faham agama).” (HR. Bukhari no. 4689)

Kenapa Rasulullah SAW berkata begitu? Kerana agama adalah modal hidup di dunia dan di akhirat. Maka kalau mahu jadi orang baik, kalian kena belajar agama. Faqih yang dimaksudkan dari hadis di atas ialah orang yang memahami mengenai fiqh, iaitu peraturan dan tuntutan syariat Islam. Tujuan faham agama di sini, salah satunya adalah untuk bertakwa kepada Allah SWT. Takwa ini sangat erat kaitannya dengan kemuliaan seseorang.

Mungkin ada yang menyangka bahawa orang paling mulia atau terbaik adalah mereka itu kaya harta, dari golongan bangsawan, cantik rupawan, berpangkat tinggi, berasal dari keturunan Arab atau bangsawan. Namun, Allah SWT sendiri menegaskan yang paling mulia adalah paling bertakwa, iaitu faham agama.

Dari Mu’awiyah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa yang Allah SWT kehendaki mendapatkan seluruh kebaikan, maka Allah SWT akan memahamkan dia mengenai agama.” (HR. Bukhari no. 71 dan Muslim No. 1037)

Jadi belajarlah ilmu agama yang menjadi kewajiban bagi setiap muslim, iaitu ilmu akidah (kepercayaan), ilmu syariat (berkait dengan ibadah) dan ilmu tasauf (berkait dengan akhlak). Semua perkara adalah di tangan atau kehendak Allah SWT termasuk di dalam pemahaman agama. Tidak mungkin kita faham agama kecuali apabila diberikan hidayah oleh Allah SWT, diberikan kemudahan dan dengan kehendak Allah SWT sendiri. Ini adalah akidah dan keyakinan yang penting.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap kaum muslimin.” (Hadis riwayat al-Imam Ibnu Majjah)

Kita tidak mengatakan ilmu umum itu tidak penting kerana setiap orang akan mencari dan mempelajarinya di sekolah-sekolah, kolej-kolej atau di universiti sebagai kelayakan untuk mendapatkan pekerjaan dan kemahiran. Tetapi ilmu agama ini dipelajari demi perintah Allah SWT. Bukan semua kena jadi ustaz dan ustazah, tetapi setiap muslim kena belajar dan memahami agama untuk menjadi orang terbaik.

Telah bercerita kepada kami Ibnu Ka’b bin Malik dari bapanya dia berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mencari ilmu dengan tujuan menyaingi ulama (berdebat dengan mereka) atau mempermainkan orang-orang bodoh dan supaya dihormati oleh manusia, Allah SWT akan memasukkannya ke dalam Neraka.” (HR Tirmizi No: 2578) Status: Hadis Hasan

Daripada Abu Hurairah sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari reda Allah SWT, tetapi dia tidak mempelarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau Syurga pada hari kiamat.” (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dll. Hadis sahih. Dinilai sahih oleh al-Nawawi, al-‘Iraqi, al-Albani, al-Arnaut dll)

Pengajarannya dari dua hadis di atas:
1. Menuntut ilmu menjadi kewajipan setiap Muslim
2. Menuntut ilmu bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT, membina akhlak yang baik dan untuk seimbang dunia dan akhirat.
3. Orang yang menuntut ilmu bertujuan untuk mencari habuan dunia serta menandingi, merendah dan memperlekeh orang lain, dia akan dimasukan ke Neraka dan tak dapat bau Syurga.
4. Orang yang menuntut ilmu dengan tujuan untuk dihormati dan disanjung orang dengan sebab ilmunya, Allah SWT akan memasukkannya ke dalam Neraka.

KETUJUH: Ketika Rasulullah SAW ditanya oleh seorang lelaki: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik?” Rasulullah SAW lalu menjawab: “Lelaki yang dipanjangkan umur dan (semakin) baik amal (soleh)nya.” Lalu lelaki itu bertanya lagi: “Siapa pula manusia yang teruk?” Rasulullah SAW menjawab: “Lelaki yang dipanjangkan usianya, (tetapi semakin) buruk amalan mereka.” (Sunan al-Tirmizi, dinilai Hasan Sahih)

Rasulullah SAW ada meninggalkan doa untuk kita amalkan. Dalam kehidupan ini jangan minta mati, tetapi kalau kita takut dengan kehidupan ini dan takut terfitnah, jadi mintaklah yang terbaik daripada Allah SWT dan bukan minta mati tetapi minta berkah pada usia.

Nabi SAW berdoa dengan lafaz dalam hadis yang diriwayatkan dari sahabat ‘Ammar bin Yasir RA:
اللهُمَّ بِعِلْمِكَ الْغَيْبَ، وَقُدْرَتِكَ عَلَى الْخَلْقِ، أَحْيِنِي مَا عَلِمْتَ الْحَيَاةَ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي
“Ya Allah, dengan ilmu-Mu yang meliputi yang ghaib dan kekuasaan-Mu atas seluruh makhluk, hidupkanlah aku jika Engkau mengetahui bahawa kehidupan itu lebih baik untukku, dan wafatkanlah aku jika kematian itu lebih baik untukku …” (HR. Ahmad 30: 265, shahih)

Dari kalimat doa yang diajarkan dan diperintahkan oleh Rasulullah SAW tersebut, terkandung makna pasrah dan tunduk terhadap ketentuan Allah SWT, memasrahkan semua urusan kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui semua urusan dan hasil akhirnya. Yaitu, seseorang menggantungkan urusannya kepada ilmu Allah SWT. Moga umur kita dalam keberkahan rahmat Allah SWT.

KELAPAN: Orang paling terbaik, dan paling ditakuti musuh Allah SWT ialah yang ketika menunaikan hak Allah SWT, dia lakukan kerana Allah SWT. Hidupnya untuk Allah SWT sehingga kematian datang kepadanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sentiasa ada dalam kalangan umatku kumpulan yang zahir menegakkan kebenaran (Islam) yang tidak boleh dimudaratkan oleh sesiapa yang mengecewakan mereka, sehingga datangnya keputusan Allah (mati atau menang), mereka tetap dengan perjuangan itu.” (Riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, No. 1920, daripada Thauban)

Allah SWT menetapkan bahawa kumpulan Islam pasti diuji oleh gangguan-gangguan daripada berbagai-bagai pihak, tetapi mereka terus teguh berdiri, melangkah merempuh onak duri demi menegakkan kebenaran. Perkara ini dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
“Alif lam mim. Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedang mereka tidak diuji lagi?. Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka, sesungguhnya, Allah SWT mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya, Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-‘Ankabut: 1–3)

Jadi bagi mereka yang memperjuangkan tertegaknya agama Allah SWT, niatlah kerana Allah SWT, bukan dengan niat-niat lain. Mudah-mudahan akan menjadi orang yang terbaik di sepanjang hidup walau di sudut mana kalian berperanan dan ditempatkan.

KESEMBILAN: Diriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isteri dan ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Dan apabila salah seorang daripada ahli keluarga kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara keburukannya).” (Riwayat al-Tirmidhi (3895))

Berkahwin dan berkeluarga bukan satu perkara yang boleh dibuat main-main. Ia mesti dilalui dengan penuh rasa tanggungjawab. Seorang suami perlu mencontohi kepimpinan Rasulullah SAW yang Baginda akui sendiri dalam hadis di atas bahawa Baginda adalah orang terbaik terhadap ahli keluarganya. Suami perlu memahami karakter atau perwatakan seorang wanita dan menerima seadanya kekurangan dan kelebihan emosi wanita di mana sinonim sebagai tulang yang bengkok.

Sifat Nabi Muhammad SAW sebagai seorang suami untuk dicontohi oleh para suami:
1. Nabi SAW seorang penyayang dan selalu berlapang dada.
2. Nabi SAW berlaku adil terhadap isteri-isterinya.
3. Nabi SAW sentiasa bermesyuarat dengan isteri-isterinya.
4. Nabi SAW tidak pernah tidak menasihati isteri-isterinya.
5. Nabi SAW sentiasa bermurah hati menolong isteri-isterinya jika perlu.
6. Nabi SAW sentiasa menjaga kebersihan dan berhias untuk isteri-isterinya, Baginda seorang yang kacak.
7. Nabi SAW selalu bersenda gurau dengan isteri-isterinya.

Jadi nak tahu seorang lelaki itu baik atau tidak tanya kepada isterinya sebab di dalam rumah, manusia tidak pandai berpura-pura. Hadis di atas adalah mengenai lelaki yang paling baik, jadi di sini, Nabi SAW ingin menceritakan pula siapa isteri yang paling baik.

Hadis daripada Abi Uzainah al-Sadafi, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik wanita di antara kamu adalah yang sangat kasih (cinta) kepada suami (penyayang), yang memiliki banyak anak (subur), tidak kasar (tidak menyakiti suaminya), membantu (menyokong) suami dalam kebaikan, sekiranya mereka bertakwa kepada Allah SWT.” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (13478). Dinyatakan sebagai sahih dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (1849) dan Sahih al-Jami’ (3330))

Dan diceritakan juga oleh Nabi SAW di dalam hadis yang lain. Dari Abu Hurairah RA, dia berkata, pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW, “Siapakah wanita yang paling baik?” Baginda menjawab, “Iaitu yang paling menggembirakan suami apabila dilihat, mentaati suami apabila diperintah, dan tidak membantah suami tentang diri dan hartanya pada perkara yang suaminya benci.” (HR An-Nasai dan Ahmad)

Seorang isteri sepatutnya menjadi penyejuk mata suami dengan maksud seorang isteri kena menjaga kebersihan dan penampilan atau kecantikan diri ketika bersama suami di rumah dan begitu juga dengan penampilan seorang suami. Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Umar bin Khattab RA bahawa isteri solehah ialah yang menggembirakan suaminya apabila memandangnya.

“Mahukah aku beritakan kepadamu mengenai sebaik-baik perbendaharaan seorang lelaki, iaitu isteri solehah yang apabila dipandang akan menyenangkannya, bila diperintah akan mentaatinya, dan bila dia pergi isterinya akan menjaga dirinya.” (HR Abu Dawud)

Seorang isteri juga taat apabila diperintah oleh suaminya. Rasulullah bersabda, “Bagi lelaki mukmin, setelah bertakwa kepada Allah SWT, tidak ada yang lebih bermanfaat baginya daripada isteri solehah, iaitu taat apabila disuruh, melegakan apabila dilihat, reda apabila diberi sedikit, dan menjaga kehormatan dirinya dan suaminya ketika suaminya tiada.” (HR Ibnu Majah)

Jadi apabila suami tidak bersamanya, seorang isteri wajib menjaga kehormatan dirinya daripada segala perkara buruk, yang tidak disukai oleh suami. Dan isteri juga wajib taat apabila diperintah selagi perintah itu tidak bercanggah dengan syariat Islam dan tidak bertentangan dengan fitrahnya sebagai seorang wanita.

Isteri juga wajib menjaga amanah suami berupa harta yang diamanahkan kepadanya. Seorang isteri hendaklah membelanjakan harta suaminya dengan cara yang makruf, dan tidak berlebihan atau di luar keperluan kecuali dengan izin suaminya. Apabila amanah ini dilaksanakan dengan baik akan menebalkan lagi cinta suaminya dan memberikan kebahagiaan hati yang tidak terkata sama ada buat suami dan juga isteri.

Kesimpulan

Bahawa untuk membentuk nilai peribadi yang terbaik di sisi Allah SWT dan manusia umumnya, seorang Muslim harus memiliki sifat sabar dan semangat sungguh-sungguh dan tidak mudah larut dibawa badai godaan besar dalam kehidupan ini.

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara itqan (bersungguh-sungguh).”

Itulah ciri-ciri peribadi seorang Muslim terbaik di mana akan menjadikannya seorang yang mempunyai jati diri kuat dalam melalui kehidupan penuh ujian dan terbaik dalam berinteraksi dengan sesama manusia di sekelilingnya.

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada Mukmin yang lemah. Pada masing-masing memang terdapat kebaikan. Bersemangatlah melakukan hal yang bermanfaat untukmu dan meminta tolonglah pada Allah SWT, serta janganlah engkau malas (menjadi orang yang lemah)…..” (HR Muslim No: 4816 – Status Hadis: Sahih)

Wallahu’alam
FARIDAH KAMARUDDIN
Kuantan, Pahang – HARAKAHDAILY 20/10/2024

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top