CRISTIANO Ronaldo menegaskan bahawa cita-citanya ‘tiada garis penamat’ selepas menandatangani kontrak baharu bersama kelab Al Nassr.
Kapten skuad kebangsaan Portugal itu secara rasmi melanjutkan kontraknya selama dua tahun lagi yang akan menyaksikan beliau kekal bersama kelab Liga Pro Saudi (SPL) sehingga Jun 2027.
“Cita-cita saya tiada garis penamat.
“Ia adalah tentang konsisten, komitmen dan kerja berpasukan yang akan menjadikan lebih baik. Itu adalah misi saya di sini. Kami sedang memulakan babak baharu!,” katanya.
Ronaldo menyertai Al Nassr pada 2022 selepas meninggalkan Manchester United.
Perpindahan itu menjadikannya atlet dengan bayaran tertinggi di dunia dan dia kekal di tangga teratas selama tiga tahun berturut-turut menurut Forbes.
Walaupun berjaya menjaringkan 93 gol dalam 105 perlawanan bersama Al Nassr, Ronaldo masih belum meraih sebarang trofi utama kecuali kejuaraan Piala Juara-Juara Kelab Arab pada 2023.
Al Nassr muncul naib juara SPL bagi musim 2022-23 dan 2023-24 dan menamatkan musim lalu di tempat ketiga.
Bagaimanapun, Ronaldo baru-baru ini menjulang kejuaraan ketiganya bersama skuad kebangsaan Portugal apabila menjaringkan gol dalam final Liga Negara-Negara menentang Sepanyol awal bulan ini.
Kontrak baharu bersama Al Nassr juga memberi peluang kepada pemenang lima kali Ballon d’Or itu untuk terus mengejar sasaran 1,000 gol dalam kariernya. Setakat ini, dia telah menjaringkan 794 gol di peringkat kelab dan 138 gol bersama Portugal menjadikan jumlah keseluruhannya 932 gol.
Ronaldo juga menolak tawaran untuk beraksi dalam Piala Dunia Kelab FIFA bersama kelab lain demi memberi tumpuan kepada persiapan musim baharu bersama Al Nassr.