sukan@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Era baharu skuad Harimau Malaya mula menyerlahkan taringnya apabila mudah membenam cabaran Nepal dengan keputusan 2-0 dalam aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam tadi.
Kejayaan meraih tiga mata penuh ke atas pasukan di ranking 175 dunia itu membolehkan anak buah Peter Cklamovski membuka kempen dengan langkah kanan dalam misi melayakkan diri ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut selepas layak di Qatar pada edisi 2023 lalu.
Revolusi yang dicetuskan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan menampilkan barisan kejurulatihan baharu dan pemain warisan dari Sepanyol, Hector Hevel yang meraih ‘caps’ pertamanya berjaya membawa nafas baharu dalam corak permainan pasukan negara.
Malah, Hevel yang kini beraksi untuk kelab Portugal, Portimonense SC turut meledak gol sulungnya bersama skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Sebaliknya kejutan yang ingin ditampil skuad bimbingan Matthew Ross seperti kemenangan mengejut 1-0 ke atas Singapura dalam aksi persahabatan Jumaat lalu tidak kesampaian dengan hanya bertahan sepanjang aksi.
Dalam aksi yang dikuasai sepenuhnya Malaysia, hampir mendahului seawal minit keempat namun percubaan bintang bola sepak negara Arif Aiman Hanapi melambung tinggi sekali gus memberi amaran kepada skuad The Gorkhalis bahawa lebih banyak ancaman akan dilancarkan.
Arif Aiman sekali lagi mencetuskan huru hara di depan gawang lawan apabila hantaran lambungnya tepat menuju ke kepala Endrick dos Santos namun tandukannya sedikit tersasar di minit ketujuh.
Endrick sekali lagi berpeluang mencetak nama di minit 20 tetapi rembatan lemahnya tepat ke dakapan penjaga gol Kiran Kumar Limbu yang sudah bersedia untuk menampan percubaan pemain tengah Ho Chi Minh City itu.
Gol yang dicari akhirnya menjelma pada minit ke-30 menerusi rembatan luar kotak penalti Hevel yang sedikit membias sebelum masuk menewaskan Kiran Kumar Limbu untuk mendahului 1-0.
Skuad negara yang menghuni tangga 132 dunia terus memburu tambahan gol di separuh masa kedua dan hampir meraih jaringan kedua di minit 59 tetapi tandukan Romel Morales sekadar menggegar tiang gol.
Usaha berterusan Malaysia akhirnya membuahkan hasil di minit 70 apabila Corbin Ong mudah menolak masuk hantaran Arif Aiman yang bergerak solo dengan menyusup masuk ke kotak penalti.
Berbaki 15 minit, Cklamovski membuat beberapa pertukaran termasuk memberi peluang kepada Faisal Halim yang kali terakhir beraksi pada Mac tahun lalu ekoran menjadi mangsa simbahan asid.
Kelebihan dua gol kekal hingga wisel penamat dan kemenangan itu meletakkan skuad negara di tangga kedua di belakang Vietnam yang sebelum itu membelasah Laos 5-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan F.
© New Straits Times Press (M) Bhd