Cklamovski mahu aksi terbaik lawan Palestin

Cklamovski mahu aksi terbaik lawan Palestin


PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski mahu kesebelasan pemain yang diturunkan memberikan aksi terbaik ketika berdepan Palestin dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, pada Isnin.

Bagaimanapun, menurut Cklamovski, beliau masih belum memuktamadkan kesebelasan terbaik dan hanya akan membuat keputusan selepas sesi latihan terakhir pasukan.

“Bagi saya, kita ada seramai 17 pemain, tetapi hanya 11 yang terbaik akan diturunkan dalam kesebelasan utama.

“Kita juga perlu ada pemain gantian yang berkualiti. Ia bukan soal siapa yang memulakan perlawanan atau beraksi hingga ke wisel penamat, tetapi pendekatan ini membuatkan kita lebih fokus.

“Justeru, ia adalah cara terbaik untuk kita mendapatkan hasil yang kita inginkan,” katanya pada sidang akhbar menjelang aksi persahabatan berkenaan.

Untuk rekod, pertemuan terakhir kedua-dua pasukan menyaksikan skuad negara tewas 0-6 pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 16 Jun 2015, sebelum mencatat kekalahan dengan jumlah jaringan sama pada 12 November 2015 di Amman, Jordan.

Tambah Cklamovski, Palestin merupakan pasukan yang kuat serta memiliki ramai pemain berkualiti, namun kemenangan tetap menjadi keutamaan.

“Kita mahu lihat sejauh mana peningkatan yang ditunjukkan kesebelasan pemain sejak menewaskan Singapura, Khamis lalu.

“Apa yang menjadi keutamaan pada perlawanan ini adalah perkembangan pasukan berbanding aksi terdahulu.

“Kita dapat banyak input positif ketika menentang Singapura; contohnya, kita melepaskan 20 percubaan tepat ke gawang berbanding lima sahaja oleh lawan. Kita seharusnya menjaringkan lebih banyak gol.

“Apa pun, aksi menentang Palestin adalah berbeza. Saya berharap semua pemain dapat memberikan aksi terbaik dan membuatkan rakyat Malaysia berasa bangga,” ujarnya.

Sementara itu, pemain tengah Harimau Malaya, Nooa Laine berkata, beliau bersedia beradaptasi jika berlaku perubahan formasi bagi mengemudi bahagian tengah sekiranya diturunkan.

Tonggak Selangor FC itu berkata, sistem permainan skuad Harimau Malaya tidak jauh berbeza dengan apa yang diamalkannya di peringkat kelab.

“Saya tidak kisah formasi apa yang jurulatih susun kerana ia sama dengan sistem permainan di Selangor FC,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top