PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski nyata berpuas hati dengan aksi dipamerkan skuad kendaliannya, biarpun hanya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Palestin dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Menurut jurulatih kelahiran Australia itu, kemenangan tersebut menyaksikan kesebelasan pemain mempamerkan disiplin, komitmen serta mentaliti yang kuat meskipun berdepan jadual perlawanan yang padat.
“Sepanjang 60 minit pertama merupakan detik terbaik buat skuad negara, namun dalam tempoh 20 minit terakhir, kami perlu bertahan dengan baik bagi mengekang asakan-asakan lawan.
“Saya bangga kerana kami dapat mengekalkan rekod bersih tanpa bolos dan seterusnya melakar kemenangan yang cukup berharga ini.
“Dalam perlawanan ini, kita menewaskan Palestin, sebuah pasukan yang telah layak beraksi di Piala Asia dan berada dalam kelompok 100 pasukan terbaik dunia. Kredit kepada semua pemain,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.
Dalam aksi persahabatan berkenaan, skuad negara membuka jaringan seawal minit ke-2 menerusi rembatan Joao Figueiredo.
Sementara itu, Cklamovski turut berbangga dengan aksi benteng pertahanan yang dibarisi 100 peratus pemain tempatan.
Malah katanya, beliau menaruh keyakinan penuh terhadap kemampuan pemain-pemain tersebut bagi mengemudi benteng negara agar tidak dibolosi jentera serangan lawan.
“Saya percaya dengan kemampuan semua pemain. Kami melakukan tujuh pertukaran pemain sejak perlawanan terdahulu dan menurunkan enam pemain gantian.
“Bagaimanapun, kesemua mereka kekal komited hingga berjaya menghasilkan kemenangan,” ujarnya.