Cklamovski sedar penyokong mahu Harimau Malaya menang ke atas Vietnam

Cklamovski sedar penyokong mahu Harimau Malaya menang ke atas Vietnam


Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski (kiri) bersama Kapten Harimau Malaya, Matthiew Davies (kanan) pada sesi Sidang Media bagi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Bukit Jalil hari ini.

PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengakui sedar harapan menggunung peminat yang mahu Malaysia mencatatkan kemenangan ke atas Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

Menurutnya, harapan itu memang perkara biasa untuk setiap penyokong selain mentaliti Harimau Malaya juga mengejar kemenangan dalam setiap perlawanan yang dilalui.

“Itu memang boleh difahami kerana kami mempunyai mentaliti untuk menang dalam setiap perlawanan yang kami lalui.

“Terdapat sedikit fakta di sebaliknya iaitu Malaysia belum pernah menewaskan Vietnam dalam lebih 10 tahun. Tetapi, daripada berasa gentar dengan perkara itu, ia sebenarnya merupakan satu cabaran yang ingin dihadapi oleh para pemain, barisan kejurulatihan, dan seluruh pasukan kami.

“Kami mahu mencipta sedikit sejarah pada malam esok. Ini peluang yang ada di hadapan kami, dan kami tidak sabar untuk mengharunginya,” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan pada Isnin.

Perlawanan menentang Vietnam menjadi aksi cukup penting buat Harimau Malaya dan perlu melakar kemenangan di laman sendiri sekiranya mahu mencerahkan peluang ke pusingan akhir Piala Asia 2027.

Untuk rekod, hanya juara kumpulan yang akan berjaya layak ke Piala Asia yang akan berlangsung di Arab Saudi itu.

Dalam pada itu, pengendali kelahiran Australia itu mengakui berdepan tugas sukar untuk memilih pemain yang akan membarisi skuad menentang Vietnam.

“Saya sangat suka bekerja dengan pemain-pemain ini. Kami mempunyai 30 orang dalam skuad ketika ini. Untuk mengurangkannya kepada 23 orang pada hari perlawanan bukanlah sesuatu yang mudah.

“Beberapa pemain yang bagus mungkin tidak akan tersenarai, tetapi itu adalah sesuatu yang penting. Mereka akan tahu bahawa mereka telah menyumbang kepada persembahan pasukan untuk malam esok.

“Fokus kami sepenuhnya adalah pada perlawanan esok iaitu satu perlawanan yang penting dan cukup mencabar,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top