SKUAD kebangsaan bertekad menamatkan kemarau kemenangan sejak lebih sedekad lalu di bumi Vietnam apabila menentang pasukan tuan rumah dalam perlawanan terakhir Kumpulan F kempen Kelayakan Piala Asia 2027 malam ini.
Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan pertemuan di Stadium Thien Truong, Nam Dinh itu memberi peluang untuk pemainnya menutup kempen dengan keputusan positif sekali gus menamatkan catatan buruk pasukan sejak separuh akhir Piala AFF 2014.
“Sudah 12 tahun kita tidak menang di tempat lawan menentang Vietnam. Esok (malam ini) kami mahu mengubah sejarah itu,” ujar Cklamovski sambil menekankan bahawa kemenangan mampu membangkitkan semula semangat pasukan selepas kekecewaan gagal layak ke pusingan akhir.
Dalam pada itu, fokus utama pasukan kini tertumpu kepada Endrick dos Santos, pemain naturalisasi yang berpengalaman beraksi di liga Vietnam.
Menurut Cklamovski, kehadiran penyerang Cong An Ho Chi Minh City itu bukan sahaja menambah kualiti permainan, malah memberi maklumat berguna tentang strategi lawan.
“Endrick seorang pemain yang berpengalaman di Vietnam. Dia boleh berkongsi maklumat penting tetapi kami tetap berpegang kepada perancangan asal untuk capai keputusan terbaik,” jelas Cklamovski.
Pengendali dari Australia itu turut mengakui cabaran besar menanti anak buahnya kerana Vietnam memiliki barisan pemain berpengalaman dan berkualiti.
Justeru, pendekatan berhati-hati akan digunakan tanpa mengurangkan semangat menyerang Malaysia.
“Vietnam pasukan kuat tetapi kami akan cuba mengawal permainan mengikut kemampuan sendiri sambil tetap menghormati mereka,” katanya.
Sejak separuh akhir Piala AFF 2014, Malaysia sukar menundukkan Vietnam.
Dalam tempoh 21 tahun pertemuan, pasukan negara hanya mencatat dua kemenangan, dua seri dan 14 kekalahan.
Kekalahan terbaru (diisytihar kalah 0-3) dalam perlawanan kedua Kumpulan F menambahkan lagi rekod suram Malaysia setiap kali turun menentang Vietnam.
Dari segi kekuatan, Vietnam kini lebih mantap berbanding pertemuan pertama di Bukit Jalil pada Jun 2025.
Malah, kepulangan bintang seperti Nguyen Xuan Son, Doan Van Hau dan Tran Dinh Trong serta pemain naturalisasi, Do Hoang Hen dilihat memperkukuh lagi skuad kendalian Kim Sang-sik itu.
Ringkasan AI
- SKUAD kebangsaan ingin menamatkan kemarau kemenangan di Vietnam dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.
- Peter Cklamovski menegaskan kemenangan penting untuk memulihkan semangat pasukan selepas gagal layak ke pusingan akhir.
- Endrick dos Santos sebagai pemain naturalisasi menambah kualiti dan memberi maklumat strategi lawan.
- Cklamovski mengakui cabaran menentang Vietnam yang memiliki pemain berpengalaman dan berkualiti.
- Malaysia mencatat rekod buruk menentang Vietnam sejak Piala AFF 2014 dengan hanya dua kemenangan dalam 21 tahun.






