Cleopatra mahu sertai Pas demi anak-anak

Cleopatra mahu sertai Pas demi anak-anak


zanariah_mutalib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Calon Bebas Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Cleopatra, hari ini memohon untuk menjadi ahli Pas.

Dewan Muslimat Pas memaklumkan, Cleopatra menyerahkan borang keahlian di pejabat sayap wanita Pas itu tengah hari ini yang disaksikan Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Mohd Salleh.

Katanya, Cleopatra memaklumkan keputusan untuk menyertai Pas adalah demi masa depan anak-anaknya.

“Beliau yang juga seorang ibu tunggal, sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk mengenali Pas dengan lebih dekat dan menyatakan kesediaan mengikuti tarbiyyah parti.

“Selain dikenali sebagai seorang aktivis yang aktif dalam kerja amal dan pengasas badan bukan kerajaan (NGO) Hetero Action Women Alliance (HAWA) yang memperjuangkan hak wanita dan masyarakat, Cleopatra juga memainkan peranan sebagai seorang pempengaruh media sosial, menjadikan beliau suara penting dalam memperjuangkan isu sosial dan pembangunan komuniti,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Cleopatra bertanding atas tiket Bebas di Parlimen Batu dalam PRU15 pada 2022, yang menyaksikan pertembungan antara 10 calon, iaitu yang paling ramai pada PRU berkenaan.

Beliau yang pertama kali mencuba nasib bagaimanapun tewas selepas kerusi Parlimen itu dimenangi penyandangnya, P Prabakaran daripada Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Nuridah berkata, Dewan Muslimat Pas mengalu-alukan penyertaan Cleopatra dan seluruh wanita Malaysia sebagai ahli keluarga parti itu.

Katanya, Dewan Muslimat Pas sejak sekian lama konsisten mengambil cakna terhadap kebajikan golongan yang memerlukan seperti orang miskin, orang kurang upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.

“Penyertaan Cleopatra ke dalam Pas dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh peranan politik wanita di Malaysia dan memperjuangkan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top