hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) menyokong sepenuhnya penekanan terhadap risiko ‘sharenting’ atau perkongsian foto dan video anak-anak yang semakin membimbangkan.
Ini berikutan ibu bapa kini tanpa sedar mendedahkan anak-anak kepada bahaya dalam talian dengan berkongsi maklumat dan kandungan peribadi mereka.
Pengerusi Content Forum, Rafiq Razali berkata, risiko ini bukan sekadar teori kes jenayah dalam talian membabitkan kanak-kanak seperti kecurian identiti dan ‘online grooming’ terus meningkat di seluruh dunia.
“Kita sering mengajar anak-anak supaya berhati-hati dalam talian, tetapi ibu bapa tanpa sedar boleh melemahkan pengajaran berkenaan.
“Berkongsi secara berlebihan, walaupun dengan niat yang baik, boleh menjejaskan keselamatan, privasi dan kesejahteraan emosi anak-anak kita.
“Kita mesti berhenti dan berfikir sebelum menekan butang ‘post’ kerana internet tidak pernah lupa,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Di peringkat antarabangsa, beberapa negara sudah mengambil langkah menangani isu ini melalui pembaharuan undang-undang.
Di Perancis, kanak-kanak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap ibu bapa yang berkongsi kandungan peribadi tanpa kebenaran, manakala mahkamah di Itali mengarahkan ibu bapa untuk memadamkan perkongsian yang menjejaskan privasi anak-anak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum, Mediha Mahmood berkata, peluang untuk menjana pendapatan melalui kandungan digital meningkatkan risiko eksploitasi, pendedahan berlebihan dan penyalahgunaan maklumat peribadi kanak-kanak.
“Apabila ibu bapa, guru atau penjaga mengutamakan keuntungan berbanding kesejahteraan anak-anak, masyarakat perlu tampil memperjuangkan perlindungan lebih kukuh demi menjaga hak dan maruah mereka,” katanya.
Bagi menangani cabaran semasa, Content Forum terus bekerjasama dengan platform teknologi, pendidik, ibu bapa dan organisasi masyarakat sivil untuk meningkatkan kesedaran dan menyediakan alat bagi melindungi keselamatan kanak-kanak dalam talian.
Antara inisiatif utama termasuk Bengkel dan Latihan; Kerjasama dengan Platform Teknologi dan Kempen Advokasi.
CMCF menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik dan pembuat dasar untuk bekerjasama menangani cabaran ‘sharenting’ dan membina ekosistem digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif kami atau untuk turut serta, layari www.contentforum.my atau ikuti kami di media sosial @mycontentforum.
© New Straits Times Press (M) Bhd