London: Juara Grand Slam tiga kali, Andy Murray menghantar mesej kepada pihak berkuasa tenis untuk melakukan yang lebih baik selepas Coco Gauff mendedahkan betapa kecilnya trofi sebenar yang dimenanginya di Terbuka Perancis.
Coco, 21, menjuarai Roland-Garros pada Sabtu dengan menewaskan Aryna Sabalenka 6-7, 6-2, 6-4 di Paris, sekali gus menjadi pemain Amerika Syarikat (AS) pertama
memenangi gelaran itu sejak Serena Williams 10 tahun lalu.
Pemain nombor dua dunia terbabit meraikan dengan penuh semangat bersama trofi berprestij itu di hadapan penonton Perancis selepas memenangi gelaran ke-10 dalam kerjayanya, namun itu bukanlah trofi yang dibawanya pulang.
Bintang tenis itu memuat naik video di dalam jet peribadinya yang menunjukkan trofi sebenar yang dibawanya pulang dan betapa kecilnya trofi itu.
Coco berkata di TikTok sambil menunjuk gambar dirinya bergambar dengan replika besar: “Inilah trofi anda semua lihat, yang kami ambil gambar dengannya, buat sidang media dan sebagainya.
“Tapi sebenarnya, kami tak dibenarkan bawa yang ini pulang. Ia kekal milik kejohanan.”
Coco kemudian menunjukkan trofi yang jauh lebih kecil dan menambah: “Inilah yang kami bawa balik. Ia macam replika mini trofi. Ia sangat kecil.”
Anak jati Florida itu kemudian mengejutkan peminat apabila dia meletakkan trofi itu di sebelah sebotol kecil minuman yang hanya sedikit lebih kecil daripada trofi berprestij itu
Coco meneruskan: “Itulah betapa kecilnya ia. Tapi, anda tahu apa yang paling penting ialah kenangan yang dicipta.”
Perkara itu mengejutkan Murray, 38, yang kemudiannya menggunakan media sosial untuk menyuarakan pandangannya.
Bekas pemain nombor satu dunia itu berkongsi klip hos rancangan larut malam Jimmy Fallon yang memuji Coco di Instagram Story miliknya.
Murray menambah hantaran berikut: “Sudah tentu kejohanan utama tenis boleh buat lebih baik untuk replika trofi mereka!? Ia terlalu kecil.”
© New Straits Times Press (M) Bhd