Colombia 'ajar' Chile 4-0

Colombia 'ajar' Chile 4-0


Montevideo: Colombia mempamerkan aksi cemerlang pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026 selepas menang 4-0 ke atas Chile di Barranquilla, hari ini.

Gol daripada Davinson Sanchez, Luis Diaz, Jhon Duran dan Luis Sinisterra memastikan Colombia mengekalkan kedudukan mereka di tempat kedua dalam kelayakan CONMEBOL, di belakang juara dunia, Argentina.

Colombia tampil dengan penampilan baru, memakai jersi putih retro khas sempena ulang tahun ke-100 Persekutuan Bolasepak Colombia, yang menampilkan warna bendera kebangsaan dalam bentuk jalur.

Reka bentuk menarik itu disusuli dengan prestasi bergaya pasukan Nestor Lorenzo, yang memusnahkan impian Chile yang kini kekal di kedudukan terbawah dalam kumpulan kelayakan membabitkan 10 pasukan itu.

Pemain pertahanan, Davinson Sanchez membuka jaringan pada minit ke-34 menerusi tandukan hasil sepakan sudut James Rodriguez.

Chile memberikan gol kedua kepada Colombia tujuh minit selepas babak kedua bermula, ketika mereka cuba mengatur serangan dari bahagian pertahanan tetapi Benjamin Kusevic kehilangan bola kepada Rodriguez, yang kemudian memberikan peluang kepada Luis Diaz untuk menjaringkan gol.

Pemain gantian, Jhon Duran menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-82 selepas kesilapan di bahagian tengah membolehkan Sinisterra mengatur langkah dan memberikan hantaran cantik kepada penyerang Aston Villa itu.

Sinisterra melengkapkan kemenangan di masa kecederaan, menyempurnakan gol selepas percubaan pertamanya diselamatkan.

Gol itu pada mulanya dibatalkan kerana ofsaid, tetapi disahkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top