firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua pasukan negara, Dion Cools sedia bekerjasama dengan lapan tonggak warisan baharu yang dijangka akan memperkuatkan skuad Harimau Malaya pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 Mac ini.
Jelas Cools, kehadiran kelompok pemain berkenaan yang dilaporkan dari Eropah Selatan itu bakal membawa dimensi baharu khususnya menambah kekuatan pasukan.
“Sejujurnya, saya sebagai pemain hanya mahukan skuad terbaik yang ada. Tidak kira sama ada pemain lama, pemain baru, saya mahu semua orang saling memahami bahawa kita mahu bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan dan satu negara.
“Jadi, saya rasa itu perkara yang paling penting. (Kita) membawa masuk pemain yang sanggup berjuang dan mati demi negara. Jika mereka pemain baru, mereka sentiasa dialu-alukan untuk datang selagi mana kita semua berada di barisan yang sama,” katanya ketika ditemubual media antarabangsa.
Semalam, permohonan Persatuan Bolasepak Malaysi (FAM) mendapatkan kerakyatan untuk empat pemain warisan akan diketahui seawalnya dalam tempoh satu bulan akan datang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya perlu melakukan proses semakan terlebih dahulu bagi menentukan kategori permohonan sama ada pemain terbabit mempunyai pertalian darah dengan rakyat Malaysia atau tidak.
Terdahulu, FAM memaklumkan bahawa proses mendapatkan kerakyatan Malaysia bagi empat pemain warisan baharu kini sedang menunggu kelulusan muktamad, manakala baki empat lagi sedang dalam peringkat mengumpulkan maklumat.
Jika segala-galanya berjalan lancar, skuad Harimau Malaya kemungkinan akan diperkuatkan dengan lapan pemain warisan baharu sekali gus boleh digunakan untuk mengharungi Kelayakan Piala Asia 2027.
Skuad kebangsaan di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski akan memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dengan aksi pertama Kumpulan F menentang Nepal pada 25 Mac depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd